Ahmad Zahid nafi tohmahan konon SPRM jadi alat kerajaan

Ahmad Zahid nafi tohmahan konon SPRM jadi alat kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan pihak pembangkang sengaja mendakwa kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadikan alat kerajaan memang sudah dijangka.

Malahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam nada sinis menyatakan bahawa semua isu memang boleh menjadi bahan bagi kepentingan mereka.

“Apa sahaja (isu) pasti dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang,” katanya ketika ditemui para pemberita selepas menghadiri Majlis Semarak Madani Kompleks C di sini.

Beliau merujuk kenyataan oleh beberapa tokoh Perikatan Nasional yang menyelar tindakan SPRM menahan individu dikaitkan dengan blok lawan itu sebagai bermotifkan politik.

Ia susulan tindakan agensi tersebut menahan anak Menteri Besar Perlis bagi siasatan kes pemalsuan dokumen dan tuntutan palsu berjumlah RM600,000 sejak 2022 hingga kini.

Turut dipanggil ialah ketua kerajaan negeri itu yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis kerana disyaki menyalah guna kuasa sejak mengambil alih pentadbiran di situ dua tahun lepas.

Langkah tegas SPRM itu kemudian dijadikan pula bahan politik oleh pembangkang bagi misi menghasut rakyat bersempena kempen Pilihan Raya Kecil kerusi Kuala Kubu Bharu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan bahawa semua pihak seharusnya sentiasa mengamalkan sikap husnuzon iaitu bersangka baik terhadap sebarang perkara berlaku.

“(Maka) sebab itu saya sendiri kata kita kena husnuzon dan menyerahkan (isu ke atas tokoh lawan) kepada SPRM untuk melakukan siasatan mereka dengan adil,” tambahnya.

Beliau seterusnya meminta masyarakat kemudian melihat pula sama ada pihak SPRM akan menyediakan kertas siasatan dan diserahkannya kepada Jabatan Peguam Negara.

Kes yang dihadapi individu berprofil tinggi tersebut ujar beliau, jika ada asas kukuh perlu dipertimbangkan pula oleh pihak mahkamah yang akan menentukan bersalah atau tidak.

Sehubungan itu Ahmad Zahid menegaskan pendirian kerajaan bahawa sebarang kes yang berlaku pada ketika ini sebagai tidak ada sebarang kaitan dengan agenda tertentu.

“Ia (siasatan SPRM) tiada pun kena-mengena dengan apa-apa peristiwa terjadi sebelum dan selepas itu,” jelasnya yang kesal tohmahan konon agensi itu dilabel alat kerajaan. – UTUSAN

TAMAT

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN