JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan menyiasat tiga kes keracunan dipercayai akibat makanan basi yang dijual peniaga bazar Ramadan di negeri ini, sejak awal Ramadan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kejadian tersebut melibatkan dua kes di Johor Bahru dan satu kes di Mersing.
“Kita terima aduan ini menerusi kemudahan imbasan kod QR yang diperkenalkan JKNJ di tapak-tapak bazar Ramadan. Kaedah ini sudah diperkenal tahun lalu dan ia diteruskan tahun ini.
“Aduan berkenaan sedang disiasat dan kita akan ambil tindakan sewajarnya jika benar berlaku pelanggaran ke atas mana-mana Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Tindakan melibatkan kompaun atau tutup tidak lebih 14 hari untuk tujuan pembersihan,” katanya selepas Program Walkabout dan Lawatan ke Bazar Ramadan Taman Universiti, Skudai, di sini semalam.
Menurut Tian Soon, JKNJ telah mengeluarkan 49 notis kompaun (32B) kepada peniaga bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 termasuk melibatkan aspek kebersihan, sepanjang minggu pertama Ramadan. – UTUSAN











