Tiada kompromi penganjur, penjaja jual petak niaga bazar Ramadan - Utusan Malaysia

Tiada kompromi penganjur, penjaja jual petak niaga bazar Ramadan

RUMAIZI Baharin (kanan) meninjau Jualan Rahmah Madani di pekarangan Bangunan MBI, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak akan berkompromi dengan penganjur atau peniaga bazar Ramadan yang dikesan menyewakan tapak niaga kepada pihak lain demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, tindakan tegas akan diambil termasuk menyenarai hitam penganjur dan peniaga yang dikesan menjual semula tapak niaga mereka kepada pihak ketiga.

Katanya, mereka yang terlibat juga akan dikenakan kompaun yang tinggi selain dihalang mengikuti penganjuran bazar Ramadan pada tahun berikutnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi pihak MBI, memang kita pandang serius perkara ini dan akan laksanakan tindakan tegas seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Berdasarkan rekod, kita pernah ambil tindakan atas kesalahan sama pada tahun 2022. Jadi dengan aduan itu, kita ketatkan syarat-syarat kepada penganjur dan peniaga bazar Ramadan,” katanya ketika ditemui pada Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI 2024 di sini hari ini.

Menurut Rumaizi, pada tahun ini MBI menyediakan 24 lokasi bazar Ramadan di seluruh Ipoh membabitkan 1,268 lot petak niaga berbanding 1,100 lot tahun lalu.

Katanya, kadar bayaran ditetapkan bagi bazar Ramadan di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah tidak lebih RM750 termasuk sewa khemah, lesen dan pembersihan.

“Kebanyakan penganjur mengenakan bayaran RM650 sahaja dan ia berpatutan,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, tiga lokasi di Ipoh turut dipilih untuk penganjuran bazar Ramadan Rahmah di bawah seliaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.

“Satu daripada bazar berkenaan akan diadakan di Taman Cempaka manakala dua lagi belum diputuskan kerana masih dalam peringkat akhir perbincangan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×