266 inspektor kesihatan pantau 62 bazar Ramadan di Kelantan

266 inspektor kesihatan pantau 62 bazar Ramadan di Kelantan

DR. Mohd. Azman Yacob (tengah) menerangkan khidmat-khidmat rawatan kanser yang disediakan di Pink Ribbon Centre, di HPRZ II, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan menggerakkan seramai 266 inspektor kesihatan untuk memantau 62 bazar Ramadan di seluruh Kelantan sepanjang bulan puasa tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, ia bertujuan memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa terjamin sekali gus mencegah kes keracunan serta penyakit bawaan makanan.

Menurut beliau, pemantauan tersebut melibatkan 4,157 petak niaga dengan pemeriksaan berkala serta pensampelan makanan akan dilakukan secara rambang.

“Kita tidak mahu berlaku kes keracunan makanan atau cirit-birit sehingga menjejaskan ibadah masyarakat termasuk solat tarawih.

“Pemeriksaan akan dibuat secara konsisten di semua bazar terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 Peringkat Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini.

Dr. Azman memberitahu, pihaknya turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengadakan sesi taklimat kepada peniaga bazar Ramadan.

Katanya, ia merangkumi aspek kebersihan makanan serta kewajipan pengambilan vaksin tifoid melibatkan semua pengendali makanan termasuk pemilik, tukang masak, penjual dan pembantu jualan.

Dalam perkembangan lain, Dr. Azman menasihatkan pesakit-pesakit diabetik atau kencing manis supaya berjumpa dengan pegawai perubatan masing-masing bagi mendapatkan nasihat mengenai penggunaan insulin pada bulan Ramadan.

Katanya, pesakit-pesakit diabetik terutama yang menggunakan insulin memang perlu mengubah dos insulin masing-masing pada bulan Ramadan bagi mengelak berlaku implikasi kesihatan sepanjang berpuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN