KUALA SELANGOR: Tindakan amaran dan kompaun akan dikenakan kepada mana-mana peniaga yang didapati menjual makanan rosak dan basi di bazar sempena bulan Ramadan ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan penguatkuasaan itu tertakluk di bawah Akta Makanan 1983.
“Betul kita tidak dapat rasa (makanan), namun masih ada deria untuk melihat dan menghidu makanan itu. Memang ada beberapa masakan yang agak terdedah atau berisiko tinggi (mudah basi).
“Saya tekankan itu selepas menjalankann lebih 200 latihan kepada peniaga. Kita harap penyedia makanan mesti bertanggungjawab dengan makanan yang dijual terutama juadah berisiko kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui pada program Kick Off Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan, semalam.
Katanya, rekod Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SiSPAA) hanya mencatatkan satu kes berkaitan kebersihan setakat ini.
Namun tegasnya, Kementerian Kesihatan tidak mengambil ringan isu tersebut malah akan menempatkan pasukan penguatkuasa untuk memantau seluruh negara termasuk peniaga di bazar Ramadan.
Tegas Dr. Dzulkefly, isu keselamatan dan kebersihan makanan termasuk basi juga bertepatan dengan kaedah ‘perhati dan pilih’ program berkenaan.
“Selepas pelancarannya hari ini, ia akan turut disusuli dengan tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita mempunyai Akta Makanan 1983 iaitu kompaun kepada premis yang melanggari peraturan itu manakala amaran bagi peniaga premis bermusim atau kecil-kecilan,” ujarnya. – UTUSAN










