PUTRAJAYA: Takrifan pemerkasaan ekonomi bumiputera tidak boleh hanya dilihat menerusi penguasaan ekuiti sebaliknya melalui penyertaan, penguasaan dan pemilikan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Dasar Ekonomi Baru (DEB) berjaya kerana ia mengeluarkan bumiputera daripada kelompok miskin tegar dan memperkasa pendidikan.
Beliau berkata, dasar yang digerakkan pada tahun 1970-an hingga 2000 itu kini melahirkan kelompok kelas pertengahan yang teramai di negara ini.
“Kita tidak perlu lihat pemerkasaan bumiputera dalam soal pemilikan ekuiti sahaja sebaliknya penyertaan, penguasaan dan pemilikan mereka secara keseluruhan.
“Dalam aspek penguasaan bumiputera, kita lihat pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikuasai oleh bumiputera,” katanya pada sesi Fireside Chat: Aspirasi Masa Hadapan Bumiputera sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, di sini semalam.
Rafizi berkata, syarikat GLC dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) bukan berstatus bumiputera namun pengurusan utamanya dikuasi profesional bumiputera.
Dalam pada itu, katanya, jika ingin berubah kepada tahap lebih tinggi, golongan bumiputera perlu berubah daripada penambah nilai kepada pencipta nilai.
Menurutnya, ketika ini, kelompok menengah bumiputera menjadi penambah nilai kepada GLC menerusi penguasaan di jawatan utama.
“Mereka ini lebih selesa makan gaji dan kekal ditahap itu. Jika nak dibanding dengan bukan bumiputera, mereka tidak kekal di situ sebaliknya keluar dan buka syarikat sendiri.
“Ia satu cabaran buat kumpulan menengah bumiputera untuk keluar dari situ (GLC), namun jika ingin menjadi penambah nilai mereka perlu keluar,” katanya.
Sementara itu, katanya, bumiputera juga perlu beralih daripada model makan gaji kepada kelas niagawan supaya tahap pemerkasaan dapat ditingkatkan. – UTUSAN










