Sultan Selangor tidak berhasrat terus menjadi Pengerusi MKI - Utusan Malaysia

Sultan Selangor tidak berhasrat terus menjadi Pengerusi MKI

MKI
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Hakimah Mohd. Yusoff serta sekretariat MKI pada mesyuarat terakhir jawatankuasa itu di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam, Selangor, semalam. - Pejabat Sultan Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhasrat untuk tidak meneruskan peranannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang akan tamat tempoh pada Sabtu ini.

Pejabat Sultan Selangor menerusi kenyataannya berkata, baginda bertitah menyerahkan perkara itu kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk memilih seorang pengerusi baharu dalam kalangan raja pemerintah bagi meneruskan fungsi dan aspirasi MKI.

“Agar kesinambungan fungsi dan aspirasi MKI akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik di bawah kepemimpinan pengerusi baharu.

“Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih atas komitmen semua ahli mesyuarat serta wakil-wakil dari semua negeri dan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) selaku sekretariat MKI yang melaksanakan tugasnya sehingga mesyuarat MKI dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya, hari ini.

Sultan Sharafuddin sebelum ini menjadi pengerusi jawatankuasa itu berkuatkuasa selama dua tahun dari 10 Mac 2022 hingga 9 Mac tahun ini.

Dalam kenyataan sama, baginda turut menegaskan kewajipannya selaku pengerusi jawatankuasa itu untuk sentiasa mengangkat dan mempertahankan syiar Islam di Malaysia dalam setiap keputusan yang dibuat secara muzakarah.

Dalam pada itu, baginda memaklumkan pengerusi MKI hendaklah dipilih daripada kalangan Raja Pemerintah oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan memegang jawatan tersebut selama dua tahun serta boleh diperbaharui.

“Merujuk kepada Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 yang menetapkan bahawa pengerusi MKI hendaklah dipilih dari kalangan Raja Pemerintah oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui,” ujarnya.

“Baginda turut menyemak semua minit mesyuarat yang lalu dan memastikan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang telah ditubuhkan, menjalankan tugas yang diamanahkan,” jelasnya.

Terdahulu baginda berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah JAKIM merangkap Setiausaha MKI, Datin Hakimah Mohd. Yusoff dan sekretariat jawatankuasa berkenaan.

Pada mesyuarat terakhir bersama jawatankuasa itu, baginda menzahirkan penghargaan dan rasa sukacita terhadap kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa dan sekretariat sepanjang baginda memegang jawatan sebagai Pengerusi MKI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN