Selangor setuju tandatangan Akta Pengurusan Sisa Pepejal - Utusan Malaysia

Selangor setuju tandatangan Akta Pengurusan Sisa Pepejal

Sisa pepejal
AMIRUDIN Shari menyaksikan pemeteraian MOU antara STDC dan iMotorbike dekat Pusat Pameran iMotorbike, Glenmarie di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor bersetuju secara dasar untuk meratifikasi untuk meratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 seperti yang disyorkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini bersetuju mengutuskan surat niat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Isnin depan bagi menandatangani akta tersebut.

“Bagaimanapun, banyak perbincangan perlu dibuat kerajaan negeri dengan KPKT bagi mengikut akta tersebut kerana kedua-dua perlu mendapat kata sepakat. Bagaimanapun, saya harap perbincangan dapat diselesaikan pada tahun ini juga,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman (MOU) antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dengan iMotorbike.

Sebelum ini, KPKT dilaporkan sedang menunggu keputusan daripada kerajaan Selangor sama ada untuk mengikut pengurusan sisa pepejal mengikut akta berkenaan.

Menurut Kor Ming, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan Selangor meratifikasi pengurusan sisa pepejal mengikut akta tersebut ketika beliau menghadap baginda.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengulas perancangan kerajaan negeri untuk membantu mengurangkan beban rakyat khususnya daripada kumpulan B40 bagi menyambut Aidilftri dengan meningkatkan kapasiti jualan dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER).

Menurutnya, peningkatan kapasiti tersebut sedang dipertimbangkan kerajaan negeri memandangkan terdapat permintaan pembelian keperluan khususnya ketika kos perbelanjaannya meningkat.

“Seperti perayaan yang lain sebelum ini, kita akan menganjurkan JER istimewa beberapa hari sebelum hari raya Aidilfitri di beberapa lokasi bagi menjual barang basah dengan harga yang berpatutan.

“Namun kali ini, kita mungkin akan anjurkan JER di lebih banyak lokasi supaya lebih ramai rakyat Selangor boleh membeli,” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan membuat hebahan mengenai program berkenaan dalam masa yang terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN