SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah menetapkan tiga kriteria utama dalam pemilihan calon menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, calon-calon yang akan mewakili parti itu haruskan mereka yang boleh menang (winnability), dapat diterima (acceptability) dan disenangi (likeability).
Beliau berkata, kriteria-kriteria itu penting bagi memastikan calon yang bakal dipilih akan menghadiahkan kemenangan kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN ke-17 akan datang.
Katanya, memang sukar untuk memilih calon yang benar-benar diterima semua lapisan masyarakat untuk bertanding di satu-satu kawasan namun, pemilihan akan dibuat dengan mengambil kira tiga faktor iaitu diterima, disenangi dan boleh menang selain beberapa aspek lain turut menjadi perkiraan.
“Selain tiga keteria ini, BN dan UMNO akan memilih calon yang tidak mempunyai sebarang konflik yang boleh memudaratkan dan membawa kekalahan kepada parti,” katanya semasa majlis berbuka puasa sempena program Jelajah Ramadan UMNO Sabah, di Masjid Raya Sri Aman Pekan Muhibah, di sini semalam.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, siapa pun calon yang akan dipilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon PRN-17, prinsip perjuangan dan kesetiaan terhadap parti perlu ada dalam kalangan setiap pemimpin dan ahli parti.
“Jangan hanya kerana tidak terpilih sebagai calon kita terus menggadai maruah dengan meninggalkan parti untuk menyertai parti lain untuk sabotaj calon dipilih. Sebagai pejuang, keeutamaan kita adalah parti dan kemenangan parti pada PRN akan datang,” katanya.
Jelas beliau, semua pimpinan dan ahli UMNO di semua peringkat perlu berfikiran terbuka dan mengambil sikap berlapang dada dalam soal pemilihan calon.
Namun, pada masa ini masih terlalu awal untuk membicarakan soal calon. Keutamaan pada masa ini adalah untuk memperkukuh jentera parti di semua peringkat.
“Persiapan menghadapi PRN perlu diperincikan untuk memastikan UMNO dan BN mendapat mandat rakyat untuk mengambi alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri yang ketika ini gagal membela rakyar,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, UMNO dan BN pernah menjadi tunjang kerajaan negeri selama 24 tahun dan sepanjang tempoh itu, isu kemudahan prasarana seperti bekalan air bersih, jalan raya dan bekalan elektrik tidaklah seteruk yang berlaku pada hari ini. – UTUSAN










