SHAH ALAM: Empat elemen yang terlibat dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam 2024 akan dimanfaatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memantapkan pengurusan agama Islam di negeri ini.
Elemen tersebut adalah pengurusan perintah bersaling bagi Mahkamah Syariah, pelantikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, pengurusan tauliah mengajar agama islam dan pemerkasaan pengurusan halal.
Kesemua itu diluluskan dalam Mesyuarat Penggal Kedua, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 yang berakhir semalam.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, usul yang dibawa oleh Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah itu selaras dengan kewajipan MAIS di bawah Subseksyen 7(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003.
“Iaitu untuk menggalakkan, mendorong dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di negeri ini.
“Dengan kelulusan RUU tersebut, MAIS beriltizam memantapkan lagi pengurusan agama Islam di Selangor sejajar dengan undang-undang dan hukum syarak dengan kerjasama daripada agensi agama Islam lain,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pelbagai agensi terlibat dalam merangka pindaan undang-undang tersebut iaitu Sektor Undang-Undang MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor, Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri serta pejabat exco.
“MAIS merakamkan penghargaan kepada Mohammad Fahmi kerana membentangkannya. MAIS juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang memberi sokongan meluluskannya.
“Semoga dengan penguatkuasaan RUU tersebut akan memberi nilai tambah dalam pemerkasaan pengurusan agama Islam di negeri ini dan menjadi penanda aras kepada pemantapan pentadbiran agama Islam khususnya berkaitan halal di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN










