KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Selangor mula mengesan cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari negara ini menjelang bulan Ramadan pada awal bulan ini.
Mereka dikatakan keluar untuk pulang ke tempat asal masing-masing dipercayai untuk menyambut Ramadan dan Syawal bersama keluarga mereka di sana sebelum kembali masuk ke Malaysia melalui jalan yang sama.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Abdul Muhaimin Muammad Salleh berkata, hal-hal demikian dijangka dan pasukannya mempunyai kesiapsiagaan untuk membuat pemeriksaan dan mengekang cubaan-cubaan kumpulan tersebut merentasi sempadan secara haram.
“Memang sudah ada cubaan sejak awal puasa, kita akan buat tinjauan dan risikan. Kita sudah identify hotspot dan disebabkan kakitangan kita agak terhad, kita mungkin perlukan bantuan dari ibu pejabat untuk membantu dari segi penugasan risikan.
“Ramai keluar pada bulan puasa untuk menyambut hari raya bersama keluarga. Mereka akan cari jalan tikus untuk bergerak, PATI akan menyelinap keluar. Sementara cabaran selepas hari raya pula sebaliknya, mereka akan kembali masuk ke negara ini,” katanya ketika ditemui pada Program Santuni KM Bagan Datuk, semalam.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan berlaku perubahan laluan tikus yang digunakan oleh PATI bagi keluar dan masuk terutama dari bahagian selatan kepada utara di pesisir pantai Selangor.
Menurutnya, antara kawasan dikenal pasti kerap dikesan berlaku pergerakan tersebut adalah bermula dari Klang Utara hingga ke Sekinchan berbanding sebelum ini di Morib, Kuala Langat.
Abdul Muhaimin menjelaskan, perubahan tersebut berlaku apabila penguatkuasaan dan pemantauan kerap dilakukan di sesuatu kawasan.
Bahagian utara terutama di Sekinchan, Sabak Bernam menjadi tumpuan mereka apabila cuba mengaburi mata pihak berkuasa melalui jeti-jeti pendaratan ikan serta transit antara bot-bot nelayan di sekitar perairan di sana.
“Secara umumnya, kawasan Klang Utara banyak laluan tikus. Sebelum ini banyak di kawasan selatan. Cuma kita sudah buat banyak operasi dan mereka menukar modus operandi naik ke utara pula.
“Yang kita tak jangka, contohnya di Sekinchan sebagai kawasan perikanan, jadi mereka cuba menyelinap ke sana.
“Pergerakan menggunakan banyak cara, salah satunya bot nelayan pun mereka gunakan dan ada juga bot laju. Kalau bot nelayan akan ada proses transit dan mereka akan uruskan perjalanan ke laut,” jelasnya. – UTUSAN










