Maritim Malaysia siasat punca helikopter mendarat cemas 

Maritim Malaysia siasat punca helikopter mendarat cemas 

TIGA daripada empat anggota Maritim Malaysia diselamatkan selepas helikopter milik agensi tersebut terhempas di Pulau Angsa, Kuala Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca pendaratan cemas sebuah helikopter AW 139 milik agensi terbabit di Perairan Pulau Angsa, Pelabuhan Klang hari ini.

Helikopter terbabit nombor pendaftaran pesawat M72-01 itu diterbangkan Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim melakukan pendaratan cemas pada 9.55 pagi ketika menjalankan latihan menyelamat.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd. Amin berkata, maklumat awal diterima menerusi panggilan Mers 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

“Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Caam) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada pukul 10.15 pagi.

“Semua kru helikopter AW139 diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 dan diterbangkan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebelum itu, bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan memberi bantuan awal kepada kru terlibat.

Jelasnya, seramai 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM Bagan Datuk juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

“APMM akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca kejadian,” katanya.

Tambahnya, APMM mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu Carilamat kejadian ini.

“Operasi Carilamat ditamatkan oleh CAAM pada pukul 11.15 pagi,” katanya

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sebuah helikopter milik Maritim Malaysia dilaporkan terhempas di Pulau Angsa, Kuala Selangor, Selangor.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan empat mangsa telah diselamatkan nelayan tempatan.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×