KUALA LANGAT: Hampir lima juta keseluruhan pelajar bermula pra sekolah hingga tingkatan lima bagi kedua-dua sekolah kebangsaan (SK) serta sekolah menengah kebangsaan (SMK) kumpulan A dan B memulakan persekolahan bagi sesi 2024 / 2025.
Kumpulan A melibatkan pelajar seramai kira-kira 1.4 juta di 3,150 sekolah di negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis memulakan sesi persekolahan mereka semalam.
Sementara kumpulan B pula melibatkan 7,084 sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Sabah dan Sarawak membuka sesi mereka kepada kira-kira 3.6 juta pelajar, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, Selangor mencatatkan pelajar paling ramai iaitu 927,528 di 943 buah sekolah seluruh negeri melibatkan kemasukan darjah satu sebanyak 97,000 murid dan 91,000 bagi tingkatan satu.
Sementara negeri mempunyai jumlah pelajar paling rendah adalah Labuan yang menerima kemasukan pelajar bagi darjah satu dan tingkatan lima masing-masing seramai 1,700 dan 1,600 orang murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, terdapat peningkatan kemasukan pelajar khususnya bagi darjah satu dan tingkatan satu bagi sesi kali ini berbanding tahun lalu.
“Semua sekolah ada peningkatan enrolmen, memang ada sekolah yang menerima peningkatan lebih sedikit dan kita memang tahu sekolah-sekolah berkenaan. Jadi, secara keseluruhan, enrolmen untuk darjah satu (tahun ini) memang tinggi, itu menunjukkan dari segi komitmen anak-anak kita berada dalam sekolah tercapai.
“Cuma kita kena adjust kepadatannya, barang kali menyusun kembali dan itulah tugas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk memastikan tiada kesesakan yang keterlaluan di sekolah-sekolah. Jadi, kita kena tetapkan juga supaya keselesaan dan pembelajaran yang kondusif dalam kalangan pelajar,” katanya ketika meninjau pembukaan kali pertama Sekolah Kebangsaa (SK) Saujana Putra, hari ini.
Dalam tinjauan tersebut, beliau memaklumkan SK Saujana Putra menerima kemasukan pelajar seramai 2,134 orang bagi darjah satu hingga darjah enam melibatkan dua sesi yang memberi manfaat kepada lebih 70,000 penduduk di Bandar Saujana Putra, di sini.
Sementara KPM dalam maklumannya memberitahu terdapat 26 buah sekolah baharu diluluskan pembinaannya di seluruh negara menerusi Belanjawan 2024 dan sehingga Februari lalu terdapat 12 sekolah sudah siap dibina.
Malah, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu turut menjelaskan selain isu kepadatan sekolah, kementeriannya turut memantau dari semasa ke semasa berkenaan masalah sekolah kekurangan murid (SKM).
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan kerajaan akan memastikan akses kepada pendidikan akan terus ditingkatkan di negara ini termasuk menyelesaikan masalah dakwaan lebih 50,000 kanak-kanak yang berdepan masalah berkaitan kewarganegaraan.
“Kita sudah ada garis panduan tentang anak-anak yang tidak mempunyai kewarganegaraan untuk ke sekolah dan kita sentiasa tambah baik garis panduan tersebut. Kita juga minta ibu bapa yang mempunyai masalah itu untuk datang ke PPD dan JPN bagi berbincang dengan kita.
“Mana yang kita boleh bantu, kita akan bantu, insya-Allah. Jadi, kita sudah ada garis panduan dan ia mesti dipatuhi dan dari semasa ke semasa kita akan bantu berdasarkan kes-kes yang diterima. Anak-anak mesti semua bersekolah, sebab itu saya kata kita akan cuba bantu selagi ada ruang,” jelasnya. – UTUSAN










