PUTRAJAYA: Proses kemajuan di kawasan pedalaman mampu direalisasikan dengan pantas sekiranya kerajaan dapat mewujudkan banyak zon industri berat di lokasi berkenaan.
Pandangan itu diluahkan oleh Pengerusi Sesi Libat Urus Kluster Pembangunan Desa, Datuk Seri Dr. Md. Alwi Che Ahmad pada sidang pleno Kongres Ekonomi Bumiputera.
Bekas wakil rakyat di Kelantan itu memberikan contoh projek pembangunan kampus universiti awam di kawasan luar bandar yang kelaziman disebut tempat jin bertandang.
“Kita boleh lihat bagaimana kewujudan institusi pengajian tinggi itu berjaya ubah nasib penduduk misalnya Bangi di Selangor, Sintok di Kedah dan Skudai di Johor,” katanya.
Mengulas lanjut, Md. Alwi berkata, usaha sedemikian bukan baharu malah dibuat banyak negara maju antaranya Jerman dan Itali menerusi kilang automotif jenama terkenalnya dan kemudian turut dicontohi Korea Selatan dan Jepun memindahkan zon pengilangan industri berat ke kawasan jauh di luar bandar yang masih belum maju.
“Hasilnya limpahan kewujudan projek teknologi berat tersebut bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan, bahkan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk miskin,” katanya.
Setakat ini jelas beliau, Petronas ada membina sebuah zon khas di Kerteh, Terengganu selain mewujudkan skim kampung angkat yang dipilihnya di kawasan luar bandar tertentu.
Justeru, Md. Alwi menyarankan inisiatif syarikat petroleum negara itu wajar dicontohi oleh syarikat berkaitan kerajaan yang lain meskipun mungkin dalam skala tidak begitu besar.
Sementara itu beliau yang juga mewakili Pengerusi Sesi Libat Urus Kluster Pemerkasaan Orang Asli, Datuk Ramli Mohd. Nor, mahu isu etnik tersebut melibatkan kerajaan negeri.
“Ketika ini ada negeri bersikap lepas tangan biar kesemuanya diuruskan sendiri kerajaan persekutuan kerana ia bukan termasuk dalam senarai tanggungjawab negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon agar kerajaan pusat meminda balik Akta Orang Asli 1954 bagi memasukkan perkara tersebut dalam senarai bersama pihak persekutuan dan negeri.
Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada Mara apabila sedia membuka banyak tempat kepada anak Orang Asli melanjutkan pengajian ke Maktab Rendah Sains Mara.
Usaha berkenaan kata Md. Alwi, diharapkan mampu menarik minat kanak-kanak etnik itu belajar di institusi tersebut serta dapat mengubah nasib keluarga dan komuniti mereka.
Dianggarkan ketika ini terdapat lebih 220,000 individu Orang Asli meliputi tiga suku kaum utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto dengan menetap di sejumlah 853 kampung. – UTUSAN










