PONTIAN: Seorang peniaga kuih di Bazar Ramadan Stadium Mini Pontian disini, mempertahankan harga jualan kuih-muih dengan harga RM2.00 bagi tiga biji kuih atau RM0.70 sen sebiji.
Eryani Hussin, 43, berkata, jualan dengan harga tersebut sudah dilakukan pada tahun 2019 ketika pendemik Covid-19, maka tidak timbul soal harga yang melampau berdasarkan kepada situasi semasa.
Katanya, sejak tahun 2019 sehingga sekarang, bahan-bahan pembuatan kuih seperti tepung gandum, telur, minyak botol dan sebagainya tiada menunjukkan penurunan malah naik setiap masa.
Menurut Eryani, walaupun ada jaminan dari pihak berkuasa mengenai harga barang-barang keperluan harian, namun keadaan masih sama malahan ada ketikanya sukar untuk di dapati seperti telur.
“Saya tidak menentang permintaan dari kerajaan supaya peniaga di bazar tidak menaikkan harga, tetapi yang berniaga kami, kami tahu dah tahu ‘sepak terajang’ para peruncit atau pemborong.
“Kalau mereka tidak menaikkan harga barangan mentah, barulah kami peniaga juga boleh berbuat demikian, namun sebaliknya yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan di Stadium Mini Pontian, disini.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran keras kepada peniaga dan penjaja makanan bazar supaya tidak menaikkan harga melampau sempena Ramadan kali ini.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, pihaknya melaksanakan Op Pantau di bazar seluruh negara sepanjang Ramadan ini bagi memastikan harga makanan tidak dijual secara melampau.
Tambah Eryani harga sekeping atau sebiji kuih RM0.70 sen belum sampai ke tahap melampau kerana ada peniaga lain di bandar-bandar besar telah menjual dengan harga RM1.00
Ditanya mengenai peniaga yang masih menawarkan harga RM0.50 sen atau RM0.60 sebiji, dia memberitahu terserah kepada pelanggan untuk membuat pilihan berdasarkan kepada kualiti makanan yang dijual. -UTUSAN










