LISBON: Ramai rakyat Portugal merentasi sempadan untuk mengisi minyak apabila kerajaan Sepanyol menambah diskaun €0.20 sen (RM0.94 sen) seliter menjadikan jualan dieselnya yang kedua termurah di Kesatuan Eropah (EU).
Ini kerana harga diesel dijangka meningkat di Portugal pada awal minggu ini, menurut unjuran Persatuan Kebangsaan Peruncit Bahan Api (ANAREC).
Harga diesel dijangka terus mencatat rekod tertinggi dalam sejarah Portugal.
Peningkatan diskaun cukai yang diumumkan kerajaan sangat kecil, iaitu hanya sekitar €0.10 sen (RM0.47 sen) menyebabkan unjuran kenaikan sebanyak €0.04 sen (RM0.18 sen) seliter hampir tidak berubah.
Susulan itu, harga indikatif seliter diesel dijangka mencecah kira-kira €2.15 (RM10) mulai Isnin ini, sekali gus mencatat paras tertinggi di Portugal.
Presiden ANAREC, Joao Durao menuduh kerajaan berbohong kepada rakyat Portugal apabila mendakwa ia tidak mengaut keuntungan daripada kenaikan harga bahan api.
Sepanyol kini mempunyai harga diesel kedua termurah di EU, iaitu €1.79 (RM8.45) seliter.
Malta mencatat harga paling rendah, Bulgaria berada di tempat ketiga sebelum diikuti Hungary.
Sebaliknya, Finland mencatat harga diesel paling mahal, iaitu €2.47 (RM11.66) seliter, diikuti Belanda €2.44 (RM11.51), Denmark pada harga €2.43 (RM11.47)) manakala Jerman menjualnya menerusi harga €2.32 (RM10.95).
Krisis Asia Barat yang tercetus susulan perang yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) bersama Israel terhadap Iran pada Februari lalu, dan sekatan terhadap Selat Hormuz yang berlaku kemudian, telah menyebabkan harga minyak termasuk bahan api melonjak ke paras rekod. – AGENSI










