Jenazah Wan Muhammad Haikal selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah Wan Muhammad Haikal selamat dikebumikan

HAMSAH Omar menyiram air di pusara Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin di Tanah Tanah Perkuburam Islam Kampung Alor Selising, Jertih, Besut, sebentar tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Jenazah pesilat dari Terengganu, Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 20, yang meninggal dunia ketika
menyertai Kejohanan Silat Pra-Sukma Negeri Sembilan di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Selising, Jertih di sini pada pukul 10 malam ini.

Jenazah yang dibawa dari Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) tiba di rumahnya di Kampung Alor Selising pada pukul 8.53 malam dan dibawa ke Masjid Al-Huda untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Pengebumian pesilat Terengganu itu dihadiri lebih 200 individu termasuk ibu dan ayah
Allahyarham Wan Muhamaad Haikal, Hussin Wan Ishak, 61, dan Hamsah Omar, 52, rakan sepasukan serta penduduk tempatan.

Allahyarham Wan Muhammad Haikal meninggal dunia kira-kira pukul 1.20 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di HTJS.

Pesilat muda itu rebah dan tidak sedarkan diri ketika sedang bertanding pada peringkat suku akhir bagi kategori Kelas I Putera menentang seorang peserta dari Johor di Dewan Komuniti Taman Coral Height, semalam sebelum dikejarkan ke HTJS.

Allahyarham Wan Muhammad Haikal yang merupakan anak keempat daripada lima beradik merupakan prospek pingat Terengganu pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kematian Wan Muhammaf Haikal selepas menyertai satu pertandingan silat di Sikamat semalam adalah disebabkan pendarahan di otak.

Menurutnya, pihak polis juga akan buka sudden death report dan mengambil percakapan penganjur dan saksi-saksi lain untuk melengkapkan siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN