Jenazah Khamenei dikebumikan di bandar kelahirannya - Utusan Malaysia

Jenazah Khamenei dikebumikan di bandar kelahirannya

JENAZAH Ayatollah Ali Khamenei dikebumikan di Makam Imam Reza, Mashhad. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran pada Jumaat mengebumikan bekas pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, lebih empat bulan selepas beliau terbunuh dalam satu serangan udara, ketika dua hari serangan balas antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencetuskan kebimbangan bahawa perang berskala penuh akan kembali tercetus.

Keranda Khamenei yang diselubungi bendera diusung masuk ke makam Imam Reza di bandar kelahirannya, Mashhad, di timur Iran, ketika lautan manusia menunggu di luar dan mengikuti bacaan doa. 

Tiada kelibat anak dan penggantinya, Ayatollah Mojtaba Khamenei, muncul di khalayak ramai.

“Pengebumian jenazah pemimpin syahid Revolusi Islam itu dilakukan di dewan peringatan makam Imam Reza,” lapor penyiar rasmi negara, IRIB.

Pengebumian itu berlangsung selepas hari kedua serangan balas antara Washington dan Teheran.

Pegawai Iran melaporkan serangan AS mengorbankan 17 orang, manakala media negara berkata, salah satu serangan menyasarkan landasan kereta api antara Teheran dan Mashhad.

Republik Islam itu berkata, ia telah menyambung semula serangan yang menyasarkan aset AS di Kuwait, Bahrain dan Qatar, manakala siren amaran dibunyikan di Jordan yang merupakan satu lagi sekutu AS.

Khamenei terbunuh bersama beberapa ahli keluarga terdekatnya pada hari pertama perang AS-Israel terhadap Iran pada 28 Februari.

Speaker Parlimen yang juga ketua perunding dalam rundingan dengan AS, Mohammad Bagher Ghalibaf, Ketua Hakim Negara yang berpengaruh, Gholamhossein Mohseni Ejei dan anak sulung Khamenei, Mostafa hadir di makam itu. 

Rakaman televisyen negara menunjukkan beberapa pemimpin kanan dilihat menangisi keranda Khamenei.

Sejak dinamakan sebagai pengganti, beliau hanya berkomunikasi menerusi kenyataan bertulis dan dilaporkan cedera dalam serangan pada 28 Februari. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN