Hizbullah adakan pengebumian besar-besaran puluhan mangsa di selatan Lubnan - Utusan Malaysia

Hizbullah adakan pengebumian besar-besaran puluhan mangsa di selatan Lubnan

KERANDA pejuang Hizbullah yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel di kampung Majdel Selm semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJDAL SELM, Lubnan: Hizbullah mengadakan upacara pengebumian besar-besaran bagi puluhan individu, kebanyakannya pejuang yang terbunuh dalam pertempuran terbaharu dengan Israel, di Majdal Selm, selatan Lubnan, pada Sabtu.

Kumpulan Syiah yang disokong Iran itu, yang membawa Lubnan ke kancah perang di Asia Barat selepas melancarkan serangan terhadap Israel pada 2 Mac, tidak mendedahkan jumlah sebenar pejuangnya yang terkorban.

Bagaimanapun, Hizbollah telah menganjurkan beberapa upacara pengebumian sepanjang tempoh reda pertempuran ketika ini, susulan pemeteraian memorandum persefahaman antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada 17 Jun.

Hizbollah mengebumikan 44 individu, terdiri daripada 39 pejuang, empat orang awam yang didakwa terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel dan seorang lelaki yang meninggal dunia akibat sebab semula jadi di kampung itu.

Seorang wartawan AFP melihat trak membawa keranda ke tanah perkuburan ketika wanita yang sedang menangis memegang potret mereka yang terkorban dan potret bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan AS bersama Israel ke atas Teheran pada Februari.

Ramai rakyat Lubnan tidak dapat mengebumikan ahli keluarga mereka di kampung halaman masing-masing ketika pertempuran masih memuncak.

“Anda dijemput menyertai pengebumian penuh keberkatan bagi syuhada Majdal Selm,” menurut satu pengumuman kepada penyokong Hizbullah yang turut menyenaraikan nama-nama mereka yang terkorban.

Upacara pengebumian itu berlangsung ketika Presiden Lubnan, Joseph Aoun berlepas ke Washington, di mana beliau dijangka bertemu Presiden AS, Donald Trump selepas pusingan terbaharu rundingan antara Israel dan Lubnan berakhir awal minggu ini. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN