PUTRAJAYA: Keistimewaan diperoleh ahli-ahli parlimen di bawah perlindungan imuniti Parlimen tidak bermaksud mereka diberikan kebebasan sepenuhnya semasa berbahas di Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Mana-mana ahli parlimen mempunyai batasan tertentu iaitu tidak boleh melakukan kesalahan yang menyentuh perkara sensitif di bawah fasal (4) Perkara 10 dan suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Antarabangsa (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, tingkah laku ahli parlimen dalam kedua-dua dewan itu masih tertakluk kepada Peraturan Dewan dalam Majlis Parlimen meskipun tidak tertakluk kepada prosiding mahkamah.
“Speaker boleh mengawal prosiding dalam Parlimen mengikut Peraturan Tetap (standing order) yang sedang berkuat kuasa.
“Malah, speaker diberi kuasa untuk mengenakan tindakan disiplin seperti arahan keluar dewan dan penggantungan bagi tempoh tertentu terhadap mana-mana ahli parlimen yang gagal mematuhi Peraturan Tetap Dewan,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu terlibat dengan pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pada bulan lalu membabitkan tawaran habuan.
Hamzah berkata, semua Ahli Parlimen termaktub dalam Akta Kuasa dan Keistimewaan Ahli Parlimen 1952 yang menetapkan bahawa mereka mempunyai hak serta imuniti di Dewan Rakyat.
Dalam hal ini, menurut Wan Ahmad Fauzi, seseorang ahli parlimen mempunyai kewajipan undang-undang untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika mereka memiliki sebarang bukti tentang pelakuan rasuah atau pengakuan berkaitan tawaran rasuah selaras dengan Sumpah mereka untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.
Jelas beliau, ahli parlimen turut perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa jika dipanggil untuk diambil keterangan sebagai saksi dan bukannya bagi maksud siasatan dan pendakwaan terhadapnya kerana pendedahan yang dibuat.
Wan Ahmad Fauzi berkata, imuniti Parlimen adalah berkaitan kesalahan apa-apa prosiding dalam Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.
“Tiada ahli parlimen boleh dikenakan apa-apa prosiding dalam mana-mana mahkamah berkenaan apa jua yang dikatakan atau undi yang diberikannya semasa mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Parlimen.
“Ia sama ada di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara atau Jawatankuasanya. Begitu juga perlindungan diberikan kepada kedua-dua Dewan itu dalam penyiaran yang dibuat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ahli parlimen hanya dibenarkan untuk memperkatakan tentang Yang di-Pertuan Agung dan seorang raja semasa mengambil bahagian dalam mana-mana prosiding Parlimen atau Jawatankuasanya.
“Bagaimanapun, mereka tidak boleh menganjurkan penghapusan kedudukan berperlembagaan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Agama bagi Persekutuan atau kedudukan berperlembagaan raja sesuatu negeri,” katanya. – UTUSAN










