HULU TERENGGANU: Ketibaan Ramadan membawa limpahan rezeki buat seorang warga emas dekat sini yang mengusahakan cendol sejak lebih 20 tahun lalu.
Fatimah Sulaiman, 61, dari Kampung Tanjung Baru berkata, walaupun permintaan meningkat, namun dia terpaksa hadkan sehingga 15 kilogram tepung beras sehari kerana faktor masa dan kudrat.
Menurutnya yang mesra dengan panggilan Moksu, sepanjang Ramadan, dia memproses cendol seawal pukul 5 pagi sebelum dijual kepada pemborong, peniaga bazar Ramadan dan penduduk kampung.
“Pada hari biasa, penggunaan tepung beras bagi hasilkan cendol sekitar tiga hingga lima kilogram tetapi ketika Ramadan meningkat berganda.
“Cendol yang saya usahakan ini hasil berguru selama hampir sebulan dengan kakak, Hindon, 67, dan keaslian rasa terus dikekalkan dengan penggunaan bahan asli seperti daun pandan.
“Saya juga masih gunakan alat pembuatan cendol jenis lama secara manual. Dua jenis tepung beras digunakan dan bagi hasilkan cendol yang sedap, ia perlu dimasak atas api dalam tempoh lama sehingga tiga jam,” katanya, semalam.
Fatimah berkata, walaupun harga barang meningkat, dia masih kekalkan harga cendol yang sama dengan tahun lepas iaitu antara RM2 hingga RM3 sebungkus bergantung kepada permintaan pelanggan. – UTUSAN










