MELAKA: Jika di Kuala Lumpur, Bazar Ramadan Jalan Raja Alang sudah pasti menjadi tumpuan orang ramai setiap kali tibanya bulan puasa.
Di Melaka, Bazar Ramadan Taman Cempaka yang sudah berusia 30 tahun paling mencuri tumpuan masyarakat berbilang kaum termasuk pelancong, untuk mencari pelbagai jenis juadah berbuka.
Malah, ada yang menganggap tidak sempurna jika tidak menjejakkan kaki di bazar itu, jika berkesempatan berkunjung ke Melaka semasa Ramadan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, Bazar Ramadan Taman Cempaka dipenuhi orang ramai yang berasak-asak sejak pukul 5 petang.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Cempaka, Idris Hasan berkata, setiap tahun bazar itu mampu memuatkan 150 peniaga sahaja.
Menurutnya, walaupun banyak permohonan untuk berniaga di situ diterima pihaknya, namun keutamaan tetap diberikan kepada peniaga yang sudah lama bertapak.
“Kita tidak boleh tambah bilangan peniaga kerana ia akan menyebabkan berlaku kesesakan yang teruk, selain tempat yang amat terhad. Bazar ini paling lama, sudah menjangkau usia 30 tahun dan setiap kali ketibaan Ramadan, bazar ini jadi tumpuan seluruh penduduk di negeri ini datang ke sini.
“Memang orang kata setiap kali ketibaan Ramadan, tidak salah kalau tidak jejak kaki di sini,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang pengunjung, Rosli Rahmat, 35, berkata, sudah menjadi kelaziman hanya Bazar Ramadan Taman Cempaka dapat menarik minatnya untuk membeli juadah.
Katanya, reputasi lokasi itu sangat terserlah setiap kali tibanya Ramadan amat sinonim buat rakyat Melaka.
“Sekarang ini banyak bazar Ramadan di sekitar bandar Melaka, baik di Klebang, Krubong, Bukit Baru, Peringgit dan banyak lagi, tetapi Taman Cempaka ada auranya sendiri,” katanya. – UTUSAN










