Ugutan bunuh Nik Elin: Polis tunggu laporan SKMM

Ugutan bunuh Nik Elin: Polis tunggu laporan SKMM

ALLAUDEEN ABDUL MAJID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis sedang menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan ugutan bunuh ke atas peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sebelum ini telah membuka tiga kertas siasatan membabitkan dakwaan ugutan bunuh tersebut. 

Katanya, satu kertas siasatan telah selesai manakala dua lagi masih dalam tindakan. 

“Sepertimana yang saya nyatakan sebelum ini, kita dah buka tiga kertas siasatan di mana satu telah selesai serta diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan dua lagi dalam siasatan.

“KIta masih menunggu laporan SKMM dan sebagainya, apabila kita dapat (laporan), ia akan dilengkapkan sebelum diserahkan kepada TPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur hari ini. 

Tambahnya, pihak polis telah mengenal pasti individu terlibat namun tiada sebarang tangkapan setakat ini. 

Dalam pada itu, Allaudeen meminta orang ramai agar tidak menjadikan isu tersebut sebagai polemik.

“Isu ini berkaitan bidang kuasa membuat undang-undang antara Parlimen dengan Dewan Undang Negeri sepertimana kita lihat dalam penghakiman. 

“Jadi, jangan kita terarah ke isu lain. Selepas selesai siasatan, pendakwaan akan putuskan,” ujarnya. 

Media sebelum ini melaporkan Nik Elin Zurina memaklumkan beliau menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 pada Februari 9 memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu Perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×