Sibuk cari rezeki, TKI tidak lupa mengundi

Sibuk cari rezeki, TKI tidak lupa mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam kesibukan mencari rezeki di Malaysia, ia tidak menghalang warga Indonesia menunaikan tanggungjawab kepada tanah air mereka untuk melaksanakan undi awal sempena Pemilihan Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.

Sehubungan itu, Indonesia juga adalah negara ketiga demokrasi terbesar di dunia yang menunjukkan kekuasaan rakyat dalam memilih pemimpin yang dilaksanakan melalui sistem perwakilan.

Sistem demokrasi yang bebas dan tidak terikat dengan mana-mana undang melihatkan rakyatnya tidak takut untuk bersuara malah ia memberikan cabaran yang besar kepada calon-calon yang bertanding agar melakukan perubahan kepada negaranya.

Dianggarkan seramai 832,420 rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia dan berdaftar sebagai pemilih telah menunaikan tanggungjawab mereka di enam pusat pengundian terpilih.

Jumlah pemilih berdaftar di Malaysia adalah kira-kira 47.55 peratus daripada keseluruhan 1.75 juta pengundi dalam daftar pemilih luar negeri di seluruh dunia kali ini.

Antara tempat yang diberikan tumpuan adalah di Pusat Pengundian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) yang membabitkan 222,945 pemilih dan menjadi pesta demokrasi terbesar di dunia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Panitia Pemilihan Luar Negeri Kuala Lumpur, Puji Sumarsono berkata, semua rakyat Indonesia layak untuk mengundi jika mempunyai Kartu Tanda Penduduk (KTP).

“Mereka yang tidak mempunyai pasport layak untuk bertanding dengan hanya menunjukkan Kartu Tanda Penduduk (KTP).

“Pemilihan kali ini kami buat di satu lokasi agar nyaman, aman dan lancar berbeza seperti tahun lalu yang dibuat di kedutaan.

“Kami juga menyediakan 2,000 petugas bagi memudahkan perjalanan semasa mengundi,” katanya

Terdahulu, Indonesia sudah memulakan kempen pilihan presiden 2024 pada November tahun lalu yang menyaksikan tiga calon bersaing untuk merebut jawatan pemimpin atau Kepala Kantor baharu negara itu.

Calon presiden yang juga Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto menang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) dan Pemilu 2024 berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diperoleh Khamis lalu.

Keputusan itu berdasarkan kiraan pantas yang dikeluarkan enam institusi yang melakukan tinjauan berdaftar dan ia disiarkan secara maya.

Menurut kiraan yang dikeluarkan institut tinjauan Penyelidikan dan Pembangunan Kompas, pasangan Prabowo dan Gibran mendahului dengan keputusan 60.27 peratus.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, pentas demokrasi di Indonesia adalah bebas dan tidak terikat dengan mana-mana undang-undang menyebabkan ia mampu menjadi satu negara demokrasi yang terbesar.

“Indonesia merupakan salah satu negara demokrasi terbesar di dunia. Di sana demokrasinya sangat hidup dan mereka sangat berani mengkritik dan bertanya kepada pemimpin yang mahu bertanding berbeza dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia.

“Mereka sangat menyuburkan demokrasi untuk melihat perubahan di negara mereka.

“Kita dapat melihat bagaimana mereka harapkan perubahan yang besar kepada negaranya dan tidak ada tunjuk perasaan malah bertanya kepada calon-calon tentang perkara apa yang akan dibawa kepada Indonesia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×