Sarang PATI Selangor digempur, 132 ditahan - Utusan Malaysia

Sarang PATI Selangor digempur, 132 ditahan

PATI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah kawasan penempatan haram yang menjadi sarang kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dekat Kampung Budiman, Seksyen U14, di sini digempur pasukan penguatkuasa dalam satu operasi awal pagi tadi.

Lokasi yang menjadi tapak persembunyian warga asing ‘luar radar’ itu diserbu seramai 220 pegawai dan anggota daripada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor dan Putrajaya, Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor.

Dalam operasi yang berlangsung selama lebih dua jam bermula pukul 2.38 pagi itu, seramai 156 warga asing diperiksa dan 132 orang ditahan dan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Selangor untuk saringan serta siasatan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, tapak seluas kira-kira 0.6 hektar itu diserbu selepas menerima aduan daripada orang awam, laporan akhbar serta pemantauan dan risikan oleh pihak berkuasa.

“Warga asing dipercayai membuka penempatan haram di kawasan itu berikutan terdapat kedai runcit, warung dan surau. Berdasarkan risikan dan pemantauan dilakukan adalah disyaki terdapat warga asing yang terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh.

“Operasi pemeriksaan yang dilakukan mendapati seramai 156 orang diperiksa, jumlah tangkapan adalah 132 orang. Butiran tangkapan adalah terdiri daripada warga Indonesia melibatkan 76 lelaki dan 41 perempuan dewasa.

“Selain itu, tahanan turut melibatkan 13 kanak-kanak yang terdiri daripada empat lelaki dan sembilan perempuan. Selebihnya adalah dua lelaki dewasa warga Bangladesh,” katanya kepada pemberita pada akhir operasi berkenaan.

Jelasnya, selepas proses tersebut, Imigresen akan membuat laporan polis untuk tujuan tangkapan dan penahanan PATI di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959 bagi permohonan reman selama 14 hari.

PATI
SEBAHAGIAN PATI dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Selangor untuk saringan dan siasatan selepas ditahan dalam serbuan dekat Kampung Budiman, Seksyen U14, di Shah Alam, Selangor, hari ini. – UTUSAN / SADDAM YUSOFF

Selangor tumpuan PATI

Utusan Malaysia pada 13 Januari lalu melaporkan Selangor menjadi tumpuan PATI membina penempatan haram seperti ‘kampung’ sendiri yang dipercayai sudah didiami sejak kira-kira 30 tahun lalu.

Malah, penempatan tersebut didakwa menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah, pasport atau permit kerja apabila ia tersorok di dalam sebuah ladang kelapa sawit supaya sukar dikesan pihak berkuasa.

Selain itu, penempatan tersebut juga dilaporkan mempunyai ekosistem tersendiri seperti sebuah surau, warung serta kemudahan bekalan elektrik yang dipercayai didaftarkan atas nama pemilik tanah dan bekalan air daripada sumber bawah tanah dan air bukit.

Dalam pada itu, Jafri menambah, pihaknya akan membuat siasatan terhadap pemilik tanah yang membenarkan hartanah miliknya dijadikan penempatan haram apabila dikesan mengutip bayaran setiap bulan daripada setiap penghuni.

“Tanah disewa yang mana kutipan dibuat oleh ‘ketua kampung’ terhadap setiap keluarga yang tinggal. Amaunnya RM1,000 ke RM2,000 sebulan untuk satu kampung dan diserahkan kepada pemilik tanah.

“Berdasarkan temubual dengan ketua kampung, dimaklumkan tanah ini dipecahkan kepada tiga bahagian, dan satu bahagian bayarannya RM1,000 ke RM2,000 sebulan dan keseluruhannya hampir RM6,000 sebulan,” jelasnya.

Siasat pemilik tanah

Katanya lagi, semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) juga akan dilakukan bagi mengesan pemilik sebenar tanah tersebut.

Sementara itu, beliau memaklumkan terdapat 1,966 operasi penguatkuasaan oleh Imigresen di seluruh negara bermula 1 Januari hingga 15 Februari tahun ini melibatkan tangkapan PATI seramai 11,731 orang.

Dalam tempoh tersebut juga, seramai 5,131 PATI dihantar pulang dan 12,974 masih ditahan di Depot Imigresen. Tangkapan dibuat melalui operasi, pintu masuk dan serahan serta majikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN