SHAH ALAM: Warga asing yang berada di negara ini secara haram telah menjadikan beberapa kawasan di Selangor sebagai penempatan tetap seperti kampung sendiri.
Tinjauan Utusan Malaysia berhampiran Setia Alam, Shah Alam wujud perkampungan haram warga asing yang dipercayai sudah didiami selama 30 tahun. Warga asing berkenaan menggunakan penempatan itu sebagai tempat berlindung daripada tindakan pihak berkuasa.
Sewa yang murah sebanyak RM50 di penempatan dengan 200 tempat tinggal menjadikan ‘kampung warga asing’ itu lebih menarik.
Perkampungan berhampiran Kampung Budiman itu mempunyai empat struktur dan agak tersorok di dalam ladang kelapa sawit selain menyediakan kemudahan asas seperti surau untuk pendatang berkenaan hidup seperti di kampung halaman sendiri.
Ia terdiri daripada binaan lebih 50 bilik pada setiap blok yang dibina menggunakan papan dan kayu terpakai, malah lebih mengejutkan terdapat sambungan elektrik dan bekalan air dibuat.
Lebih menarik, kawasan kediaman mereka seperti mempunyai ekosistem tersendiri seperti sebuah kedai runcit dan warung untuk keperluan penduduknya termasuklah surau yang menganjurkan solat Jumaat setiap minggu.
Salah seorang penghuninya merupakan seorang wanita berusia 40-an mendakwa berasal dari negara jiran yang mendedahkan dia memilih duduk di situ kerana tidak mempunyai pekerjaan selain pasportnya sudah tamat tempoh.
“Saya tidak boleh balik, tidak ada pekerjaan, tidak ada duit. Hendak buat permit kena hidupkan pasport, tetapi tauke yang hendak ambil saya bekerja minta RM8,000 untuk urusan tersebut, sekarang saya baru bayar RM4,000.
“Duduk sini sahaja murah, menjual barangan dan makanan ringan di kedai runcit. Sewanya pada tuan tanah baru RM50 sebulan kalau termasuk elektrik, RM100. Bolehlah kumpul duit untuk bayar urusan hidupkan pasport dan permit,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk lelaki berusia 40-an mendakwa sebagai ketua penduduk di kawasan berpagar tersebut memberitahu dia adalah generasi kedua tinggal di sana sejak 2004.
“Saya tak tahu siapa yang mula-mula membuka penempatan ini, tetapi 2004 itu bukanlah terawal. Mula-mula tinggal di sini pada 2004 ketika itu pun sudah ada orang yang duduk lebih lama.
“Kebanyakan orang yang duduk sini bekerja sebagai kontraktor binaan, pekerja pembersihan dan sebagainya. Kalau kontraktor binaan, mereka bina bilik di sini menggunakan kayu dan papan terpakai yang diambil daripada majikan mereka.
“Ada juga bilik-bilik kosong kemudian diberikan kepada orang lain. Penduduk di sini kebanyakannya dari Indonesia, ada juga Bangladesh. Tetapi kita sama-sama beragama Islam,” jelasnya.
Selain kewujudan surau dan kedai runcit, penduduk di sana juga membela ayam dan memancing sebagai salah satu sumber makanan mereka selain membeli daripada sebuah lori yang datang pada setiap minggu.
Akhbar ini pada Mei tahun lalu pernah melaporkan sebuah kawasan di negeri ini iaitu Pulau Meranti, Puchong menjadi lokasi tumpuan PATI membina penempatan haram dan berkebun selepas lokasi sebelum ini di sekitar Cyberjaya diserbu pihak berkuasa.
Dalam pada itu, tinjauan pemberita tidak jauh dari lokasi tersebut mendapati terdapat dua buah lagi kawasan penempatan haram yang terlindung dari jalan utama kerana terletak di lereng-lereng bukit.
Berbanding di Kampung Budiman, penempatan haram berdekatan Persiaran Setia Makmur pula tidak berpagar, namun terdapat laluan tidak bertar yang pada awalnya disangkakan cuma laluan masuk ke ladang kelapa sawit.
Bagaimanapun, sebaik sahaja memasuki lorong tersebut, kelihatan susunan rumah kongsi di lereng-lereng bukit.
“Di sini ada macam-macam orang, ada Indonesia, Bangladesh, kadang-kadang ada juga Pakistan yang tinggal dalam masa singkat. Sebab itu khutbah Jumaat dekat surau di sini dibaca dalam Bahasa Arab,” kata salah seorang penduduk berdekatan.
Menurutnya, terdapat dua kawasan penempatan di sini yang dipisahkan dengan sebatang anak sungai di antara dua bukit dan tanahnya dimiliki oleh pemilik berlainan.
“Begitulah keadaannya di sini, ladang kelapa sawit tetapi pokoknya sudah tua tidak lagi berbuah. Memang sudah lama orang duduk di sini, saya tidak pasti berapa lama tetapi lebih 10 tahun.
“Bayar sewa pada tuan tanah RM50, kemudian untuk bekalan elektrik pula ada mesin generator kita kutip sekitar RM40 sebulan dari setiap rumah untuk beli diesel. Tetapi generator dihidupkan dari pukul 7 petang sampai 10 malam.
“Kemudian, generator kembali dihidupkan pada pukul 5 pagi untuk kegunaan penduduk yang hendak bersiap pergi kerja. Kalau air pula kita ambil dari sebuah tasik yang tidak jauh menggunakan pam air,” ujarnya. – UTUSAN









