MARIB, YEMEN: Keperluan perkhidmatan perubatan kini berada di tahap kritikal dengan penggunaan peralatan yang terhad dan jumlah peningkatan purata pesakit yang mencecah lebih 500 orang setiap hari.
Pengarah Kesihatan Maarib, Dr. Ali Al-Saedi berkata, situasi tersebut sekali gus memberi kesan kepada kualiti perkhidmatan perubatan yang disediakan di Hospital Syahid Muhammad Hael, hospital utama di negeri Maarib.
Malah katanya, penduduk dan pelarian terpaksa bergantung kepada perkhidmatan hospital di negeri lain seperti Seiyun dan Al-Mukalla untuk rawatan kes tertentu seperti kanser atau masalah tekanan jiwa.
“Keadaan di sini sudah tidak mampu ditanggung. Bayangkan kami hanya mempunyai kelengkapan untuk 200,000, tiba-tiba datang sehingga tiga juta pelarian dalam negara ke Marib.
“Malah hospital ini tidak cukup sifat untuk menerima pesakit dengan situasi perang yang pernah melanda sebelum ini. Itu belum dikira dengan kekurangan kelengkapan lain seperti mesin bantuan pernafasan dan ubat-ubatan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau sebelum itu menerima kunjungan rombongan misi kemanusiaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Al-Khair yang turut melawat pejabat kesihatan di Marib.
Sementara itu Dr. Solah berharap, sebuah hospital dapat dibina di kawasan kem pelarian terutama di Kem Al Jufaenah yang menempatkan lebih 12,000 pelarian.
“Kem Al Jufaenah adalah antara kem terbesar di Asia Barat.Itu belum dikira penempatan di kem-kem lain yang semunya mencecah lebih 100 buah dan ini menyebabkan jumlah penduduk di Marib menjadi tiga juta,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Al-Khair, Azfar Abdullah berkata, pihaknya menyumbang makanan, pakaian dan kelengkapan asas lain untuk pelarian yang bernilai hampir RM150,000.
“Misi ini merupakan misi kali pertama di Yaman. Insya-Allah kami akan cuba mengumpul sumbangan yang lebih lagi untuk pelarian di sini pada masa akan datang.
“Ini kerana mereka sememangnya memerlukan bantuan dan kita menyasarkan untuk membantu dalam aspek pendidikan kanak-kanak serta perubatan pada misi seterusnya,” jelasnya. – UTUSAN










