Perkasa jawatankuasa kaji kompetensi DUN - Mohamad Sabu

Perkasa jawatankuasa kaji kompetensi DUN – Mohamad Sabu

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam perlu diperkasakan sebagai platform konsultansi dan badan advokasi berautoriti ke atas negeri-negeri dan wilayah persekutuan dalam memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu bagi membolehkan apa juga pindaan atau penggubalan peruntukan baharu undang-undang syariah menjadi lebih harmoni, seragam dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dengan melibatkan semua wakil negeri-negeri dan kerajaan pusat.

“Oleh demikian, Amanah menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Nik Elin Zurina yang mana 16 peruntukan di dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan adalah terbatal kerana ia melangkaui bidang kuasa negeri seperti mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 4(1) menyatakan dengan jelas bahawa apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah terbatal,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah atas alasan DUN tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan tersebut kesalahan sama meliputi dalam undang-undang Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu dalam petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu Perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut mengikat rakyat Malaysia kerana fungsi mahkamah adalah menafsirkan undang-undang.

“Fungsi mahkamah ini harus dihormati bagi menjamin kestabilan pentadbiran negara yang berpegang kepada pengasingan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman.

“Maka, apa-apa dakwaan bahawa keputusan kes tersebut menentang undang-undang syariah adalah tidak berasas dan ia satu permainan sentimen yang mengelirukan oleh sesetengah pihak,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, pihaknya menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak langsung merungkai atau menghakis bidang kuasa mahkamah syariah.

“Undang-undang syariah tetap akan diperjuangkan Amanah untuk diperkasakan supaya kedudukan dan pelaksanaan setiap undang-undang syariah dijalankan secara berhikmah, harmoni serta selamat tanpa terbatal kerana tidak beperlembagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×