Penduduk lega hujan selepas dua minggu panas terik

Penduduk lega hujan selepas dua minggu panas terik

KUALA Kangsar adalah satu daripada dua daerah di Semenanjung yang mengalami cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga menurut laman Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Warga Kuala Kangsar lega apabila hujan membasahi bandar diraja itu sejak dua hari lalu setelah berdepan cuaca panas berpanjangan, dua hingga tiga minggu lalu.

Seorang penduduk, Razmin Mat Sabri, 42, berkata, ramai bersyukur dengan perubahan tersebut kerana memberikan sedikit kelegaan setelah berpanas untuk tempoh yang lama.

Beliau berkata, cuaca hujan di daerah tersebut sejak dua hari lalu bagaimanapun berlaku dalam tempoh singkat dan tidak begitu lebat, tidak seperti di Ipoh atau Taiping.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penduduk lega dengan cuaca hujan pada waktu petang sejak beberapa hari lalu. Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga masih dititikberatkan kerana cuaca masih panas terik terutama pada waktu tengah hari,” katanya.

Kuala Kangsar merupakan satu daripada dua daerah di Semenanjung yang mengalami cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga menurut laman Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia.

Jelas jabatan itu, tahap berjaga-jaga adalah suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Kata Razmin, buat masa ini aktiviti orang ramai masih berjalan seperti biasa tanpa ada yang dibatalkan atau ditangguh, namun langkah berjaga-jaga diamalkan seperti minum air secukupnya dan kerap mandi.

Seorang lagi penduduk, Nurulatikah Salehuddin, 39, berkata, dia sedikit lega dengan perkembangan cuaca hujan dan mengharapkan kepanasan akan reda.

Dia juga lega kerana cuaca panas terik itu berlaku sewaktu musim cuti persekolahan, sekali gus mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada cuaca panas.

“Jika tiada perkara penting, kanak-kanak duduk di rumah sahaja. Cuaca sangat panas pada waktu tengah hari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini