Orang ramai ‘serbu’ Taman Rimba Teluk Bahang sejukkan badan

Orang ramai ‘serbu’ Taman Rimba Teluk Bahang sejukkan badan

ORANG ramai tidak melepaskan peluang menyejukkan badan ketika cuaca panas dengan mengunjungi Taman Rimba Teluk Bahang di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Cuaca panas tahap satu yang merekodkan suhu ha­rian tinggi iaitu antara 35 hingga 37 darjah Celsius minggu ini menyebabkan kawasan perkelahan di Taman Rimba Teluk Bahang di sini menerima kunjungan berganda.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan perkelahan itu menjadi tumpuan pengunjung pelbagai kaum untuk beriadah sambil menyejukkan badan.

Ketika ini, kawasan perkelahan Taman Rimba Teluk Bahang dibuka setiap hari dan tiada sebarang caj dikenakan kepada pengunjung memandangkan ia merupakan salah satu daripada taman awam di negeri ini.

Seorang pengunjung, Halim Said, 41, berkata, dia membawa keluarga untuk berkelah pada hujung minggu memandangkan cuaca terlalu panas.

“Kawasan taman rimba ini bagi saya agak sejuk dan redup kerana dipenuhi dengan pokok-pokok merimbun. Jadi, ia sesuai untuk keluarga saya berehat sambil mandi-manda.

“Selain itu, tempat ini juga bersih dan kolam-kolamnya dijaga rapi. Jadi, saya tidak perlu bimbang dengan soal kebersihan di sini,” katanya di sini, semalam.

Menurut Halim, walaupun agak sesak dengan pengunjung, ruang di taman itu yang luas tetap memberikan keselesaan kepada orang ramai.

“Masuk ke taman ini juga percuma, malah, ada gerai-gerai yang menjual makanan kepada pengunjung. Jadi, taman ini adalah satu lokasi percutian yang ideal buat keluarga saya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Amisha Ariffin, 20, berkata, dia dan rakan-rakan yang bekerja di sebuah kilang mengambil peluang beriadah sambil menyejukkan badan ketika cuti hujung minggu ini.

“Kalau duduk di rumah cuaca memang panas, jadi kami sepakat untuk berkelah di sini. Tambahan pula, cuaca di sini agak sejuk dan lokasinya juga selesa kerana ada kemudahan awam seperti tandas dan tempat duduk untuk berkelah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×