PETALING JAYA: Malaysia menggesa semua negara agar segera menghentikan sebarang bantuan kepada Israel di samping tidak mengiktiraf kezaliman dilakukan sehingga mencetuskan krisis kemanusian kepada warga Palestin.
Selain itu, Malaysia menekankan agar semua negara menghentikan segala bentuk bantuan kewangan atau ketenteraan kepada Israel yang selama ini menafikan hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan melakukan penjajahan yang menyalahi undang-undang antarabangsa.
Pendirian itu dizahirkan Malaysia dalam Sesi Pendengaran Awam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) The Hague, Belanda semalam.
Malah Malaysia mengingatkan bahawa persoalan menentukan nasib rakyat sendiri bukanlah hanya soal dua hala semata-mata antara negara, sebaliknya merangkumi seluruh masyarakat antarabangsa sejajar prinsip undang-undang antarabangsa ‘erga omnes’ atau kerjasama semua pihak.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia bukan sahaja menggesa Israel segera melakukan gencatan terhadap kezaliman kepada Gaza, sebaliknya menghentikan dasar dan amalan pendudukan haram dan pengusiran paksa.
“Israel mesti berundur serta-merta dari Palestin. Selain itu, Israel mesti memberikan jaminan bahawa mereka tidak mengulangi segala tindak-tanduk mereka selama ini.
“Seterusnya Israel mempunyai kewajipan untuk menawarkan pampasan penuh.
“Ini bermakna bahawa ia mesti menyediakan kedua-dua pengembalian sebenar dan perundangan termasuk pembatalan atau pemansuhan semua langkah perundangan dan kawal selia yang selama ini melanggar Palestin.
“Israel juga mesti menawarkan ganti rugi untuk semua kerosakan material dan moral yang disebabkan oleh pelanggaran hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” katanya dalam kenyataan lisan pada sesi pendengaran Bagi Mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ itu.
Kehadiran kali kedua Malaysia dalam sesi tersebut sejak 2004 adalah terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 30 Disember 2022 apabila negara ini menyokong dan menaja resolusi berkenaan.
Tegas Mohamad, Malaysia juga menekankan agar semua negara membantu Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) termasuk bertanggungjawab penuh untuk memastikan badan itu berfungsi dengan lebih berkesan dalam menjalankan misi kemanusian di kawasan bergolak tersebut.
Katanya, PBB perlu meneruskan peranannya untuk menamatkan pencabulan rakyat Palestin di dalam menentukan nasib sendiri dan pendudukan Israel yang secara terangan melanggar undang-undang antarabangsa.
Mohamad dalam sesi tersebut membangkitkan hujah penting antaranya dasar dan amalan Israel berniat untuk mengubah peta demografi Palestin dengan melakukan sekatan dan kepungan serta memaksa mereka berpindah ke kawasan lain.
Katanya, Israel juga bertindak kejam dengan menyekat akses rakyat Palestin daripada segi perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan sumber air utama serta menghalang daripada menjalani kehidupan sebagai penduduk bebas dan merdeka.
“Malaysia berhujah bahawa dasar dan amalan ini merupakan pelanggaran serius hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
“Maka menjadi kewajipan jus cogens (undang-undang memaksa) yang perlu ditanggung oleh semua negara untuk melihat perkara ini dengan serius,” katanya.
Kata Mohamad, Malaysia bersetuju dan berharap agar ICJ selaku badan kehakiman antarabangsa untuk menjalankan peranan untuk menghentikan kezaliman terhadap Palestin.
“Dengan kepercayaan yang kukuh terhadap peranan mahkamah ini sebagai penjaga undang-undang antarabangsa, kami yakin bahawa keadilan dan keamanan akan ditegakkan untuk Palestin.
“Ini sejajar pendirian konsisten Malaysia menyokong keamanan rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN










