PETALING JAYA: Umat Islam di negara ini dinasihati agar lebih berhati-hati dan tidak terlalu taasub sehingga terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu tertentu yang mendakwa dirinya adalah berketurunan Nabi Muhammad SAW.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata, umat Islam perlu berhati-hati agar tidak tertipu dengan individu yang mendakwa dirinya mempunyai kaitan dengan susur galur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.
Beliau berkata, umat Islam perlu berhati-hati dengan dakwaan individu yang tidak jelas serta tidak mempunyai pembuktian mengenai latar belakang individu serta ajaran yang dibawa.
“Jabatan agama Islam di negeri masing-masing perlu memainkan peranan menyeluruh dalam keselamatan agama negeri agar mencegah anasir-anasir yang bercanggah dengan agama,” katanya.
Terdahulu dilaporkan, seorang individu yang dikenali Mawla Muhammad Amin al-Idrissi mendakwa dirinya mempunyai susur galur keturunan Nabi Muhammad SAW.
Walau bagaimanapun, Kementerian Luar Maghribi, Bahagian Hal Ehwal Asean menafikan dakwaan individu tersebut mempunyai kaitan dengan nasab suci baginda SAW dan perkaitannya dengan Sharif Idrissi di Maghribi.
Mawla Muhammad Amin atau nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj mengeksploitasi nasab suci Rasulullah SAW untuk menarik perhatian pengikut serta pendokongnya.
Dalam pada itu, bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, pihak bertanggungjawab perlu mengenalpasti individu sebelum memberikan kebenaran dalam menyampaikan ajaran Islam.
“Jawatankuasa di bawah majlis agama perlu menilai indivdu yang mahu menyebarkan syiar Islam serta memberi kefahaman mengenai sesuatu perkara dalam agama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya tegas dalam menghalang apa sahaja aktiviti yang membabitkan individu dikenali sebagai Mawla Mohamed Amin.
Katanya, hasil pemantauan JAIS mendapati sebuah madrasah di negeri ini disyaki menjadi hos kepada individu terbabit sepanjang berada di Selangor pada tahun lalu.
Sehubungan itu, katanya, sepanjang tahun lalu JAIS menghalang penganjuran apa-apa bentuk aktiviti membabitkan individu terbabit di Selangor. – UTUSAN










