Institusi zakat mesti selesaikan isu kemiskinan tegar 

Institusi zakat mesti selesaikan isu kemiskinan tegar 

Anwar Ibrahim ketika pelancaran 'E-Book' Malaysia Madani Teras Kelestarian Kewangan Sosial Islam dan Isu Zakat Kontemporari dalam Majlis Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang (ZAPICON) 2024, di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia, hari ini. -UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak patut wujud lagi miskin tegar di negara ini sedangkan jumlah kutipan zakat di negeri-negeri adalah besar.

Menurut Perdana Menteri, zakat bukan soal pendapatan negara tetapi institusi yang dikaitkan dengan membasmi kemiskinan.

”Sebab itu kalau dalam bicara zakat di negeri-negeri walaupun soal zakat dalam kuasa negeri, saya tidak boleh terima kenyataan ada negeri yang kumpul dana zakat yang besar tetapi masih ada kelompok miskin tegar.

”Sebab itu juga, ketika mengambil alih jawatan (Perdana Menteri), saya telah mengarahkan selain daripada langkah-langkah dari kerajaan, kutipan zakat juga dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan masalah kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan diselesaikan,” katanya dalam Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang 2024 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr.  Zambry Abdul Kadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Mohamad Abd. Hamid dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, disebabkan itu, zakat tidak harus dilihat sebagai satu institusi biasa dan ia perlu diuruskan dengan tatakelola yang baik.

“Sebab itu kejam bagi orang yang menguruskan zakat itu cuai dan khianat, sebab institusi ini terlalu penting dalam membina kekuatan ummah. Negara kalau kaya macam mana pun, kutipan zakat berbilion pun, ia tidak mungkin berhasil kalau tidak ada pengurusan yang baik.

”Sebab itu, setiap sen yang digunakan, wang yang dikutip atas nama zakat itu mesti dipertanggungjawabkan, apa pun alasan untuk rakyat, pelaburan, daya cipta dan teknologi atau semua yang perlu dalam negara madani ini, ia (zakat) perlu selesaikan masalah asas iaitu membasmi kemiskinan tegar rakyat,” katanya.

Disebabkan itu, Anwar berkata, beliau tidak boleh bertolak ansur dengan penyalahgunaan kuasa seperti menggunakan kedudukan untuk kayakan diri sendiri dan keluarga.

“Sebab itu, saya aneh apabila memikirkan ada yang menganggap ia (penyalahgunaan) tidak penting,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, menerusi laporan yang beliau terima, empat negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor telah hampir 100 peratus menyelesaikan masalah kemiskinan tegar di negeri masing-masing.

“Setakat ini yang berhasil 100 peratus (membasmi miskin tegar) adalah Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Saya masih belum dapat laporan terperinci dari Pulau Pinang sepatutnya Pulau Pinang jumlah miskin tegar itu jauh lebih kecil, saya beri Timbalan Ketua Menteri tempoh seminggu untuk beri laporan,” katanya.

Sementara itu, katanya, selain pembasmian kemiskinan, Anwar juga menyeru pengurusan zakat untuk mengambil langkah-langkah memperkasakan golongan kurang berkemampuan untuk bersaing dan merebut peluang dalam sistem meritokrasi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×