RANTAU PANJANG: Setiap kali cuti umum, ramai rakyat Malaysia memilih untuk berkunjung ke Hatyai, Thailand.
Ini terbukti apabila Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang di sini, sesak seawal pukul 7 pagi apabila warga tempatan mengambil kesempatan cuti Tahun Baharu Cina untuk melancong ke sana.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati puluhan kenderaan pelbagai jenis termasuk motosikal dan pejalan kaki sabar menunggu giliran masing-masing untuk masuk ke negara Gajah Putih itu.
Situasi itu menyaksikan berlaku kesesakan hampir satu kilometer dari pintu masuk utama ke ICQS Rantau Panjang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Rantau Panjang, Wan Zin Wan Harun, 60, berkata, trend rakyat negara ini melancong ke Thailand sebenarnya berlaku secara bermusim terutama pada waktu cuti persekolahan atau perayaan.
“Boleh dikatakan hari ini (semalam) belum ramai rakyat negara ini memasuki Thailand. Mungkin dua atau tiga hari lagi keadaan jalan di sini akan sesak dengan kenderaan rakyat negara ini yang mahu melancong ke Thailand.
“Kebiasaannya dua hari sebelum cuti umum di negara ini atau dua hari selepas itu akan ramai orang Malaysia memasuki Thailand. Keadaan jalan di sini akan betul-betul sesak pada musim cuti persekolahan atau perayaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Wan Zin memberitahu, Hatyai, Narathiwat dan Krabi merupakan lokasi tumpuan rakyat negara ini setiap kali melancong ke Thailand.
Katanya, kebanyakan mereka menggunakan bas persiaran, menaiki kenderaan persendirian atau menggunakan pengangkutan awam.
“Paling ramai ke Hatyai. Ada secara rombongan dari Terengganu atau Kuantan, Pahang dan rakyat Kelantan sendiri biasanya menaiki kenderaan persendirian. Ada juga warga Thailand ambil peluang sempena cuti di negara ini untuk balik ke negara mereka bagi memperbaharui visa kerja masing-masing.
“Tarikan utamanya adalah makanan yang dikatakan lebih sedap sehinggakan ada rakyat negara ini memasuki Thailand semata-mata untuk menjamu selera. Selain itu lokasi-lokasi pelancongan di negara itu sudah ditambah baik agar lebih menarik,” ujarnya.
Sementara itu, pengusaha motor tambang, Syed Azli Syed Mohamad, 50, memberitahu bilangan orang ramai memasuki Thailand akan meningkat pada musim perayaan termasuk warga negara berkenaan yang mengambil peluang untuk pulang memperbaharui visa masing-masing.
“Keadaan ini berlaku pada setiap tahun sebenarnya. Rakyat negara ini lebih ramai ke Hatyai dan Narathiwat untuk melancong tetapi saya sendiri tidak tahu kenapa dua destinasi itu menjadi pilihan mereka.
“Rakyat negara ini biasanya akan menghabiskan sehingga dua atau tiga hari di Thailand sebelum kembali ke negara ini,” katanya.
Akhbar ini semalam melaporkan, permintaan ‘luar’ biasa rakyat negara ini untuk makan angin ke Hatyai, Thailand sempena cuti Tahun Baharu Cina menyebabkan syarikat pelancongan terpaksa mengehadkan perkhidmatan mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Eniq World Travel Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Rowi Dollah berkata, tindakan itu terpaksa diambil selepas pihaknya kekurangan kakitangan untuk mengendalikan trip ke negara berkenaan.
“Sempena Tahun Baharu Cina ini kami mengendalikan kira-kira 100 pelancong untuk ke Hatyai dan ia satu jumlah yang besar untuk pakej tiga hari dua malam.
“Untuk perjalanan kali ini saya menggunakan bas dan van pelancongan dari negara berkenaan untuk memudahkan pergerakan,” katanya. – UTUSAN










