KOTA BHARU: Dua pengarah Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. (Emraz Travel) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas 51 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar balik tuntutan wang berjumlah RM503,221 kepada 17 mangsa.
Tertuduh Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan Datin Mazuin Mustafa, 43, yang merupakan pasangan suami isteri yang juga kedua-dua pengarah syarikat berkenaan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Shafiq Aizat Nazri.
Mengikut pertuduhan, Emraz Travel sebagai sebuah syarikat dengan Zulkarnain dan Mazuin, selaku orang kena saman (OKS) berdepan 51 pertuduhan kerana gagal mematuhi award TTPM.
Kedua-dua OKS didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di pejabat TTPM Kota Bharu di sini sejak April hingga September 2023.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diketuai Mohd. Sophian Zakaria, Suhana Mohd dan Shafiq Mahadi memohon jaminan dikenakan terhadap setiap OKS adalah sebanyak RM102,000 dengan seorang penjamin.
Katanya, kesemua OKS juga perlu melapor diri setiap bulan di KPDN Putrajaya bagi memastikan OKS hadir ke mahkamah.
“Untuk makluman pihak mahkamah, OKS sebelum ini sudah didakwa di Mahkamah Putrajaya melibatkan 61 pertuduhan dan hari ini pula 51 pertuduhan membabitkan nilai RM503,221 di Kelantan.
“Kes ini membabitkan 17 mangsa di Kelantan dimana bakal jemaah umrah ini terpaksa menabung untuk menunaikan umrah dan mereka mula membuat pembayaran bermula Februari tahun lalu dan mangsa sepatutnya berlepas menunaikan ibadah umrah pada Mac 2023.
“OKS sehingga kini tiada usaha untuk menjejaskan bayaran kepada mangsa dan saya merasakan jaminan yang ditawarkan adalah bersesuaian memandangkan OKS sangat culas, untuk hadir ke mahkamah” katanya.
Bagaimanapun, peguam mewakili ketiga-tiga OKS, Datuk Hanif Hassan, memohon jaminan dikurangkan memandangkan jumlah ditawarkan sebanyak RM102,000 bagi setiap OKS adalah sangat tinggi.
Katanya, hal ini kerana kedua-dua anak guamnya tidak menjalankan operasi perniagaan dan lesen perniagaan juga sudah ditamatkan.
“Kedua-duanya tidak mempunyai hasil pendapatan untuk meneruskan hidup selepas syarikat itu tidak beroperasi lagi,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,200 secara global (kesemua OKS) dan OKS perlu hadir untuk lapor diri setiap bulan di pejabat KPDN Putrajaya.
Mahkamah kemudian menetapkan, 11 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN










