PETALING JAYA: Cuti Tahun Baharu Cina memberi peluang kepada anak perantau tidak mengira bangsa pulang ke kampung halaman masing-masing sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam.
Di Kelantan, tinjauan Utusan Malaysia di jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Krai di sini mendapati, aliran trafik di kedua-dua laluan itu mulai perlahan.
Seorang pekerja swasta, Mohd. Hafiszul Mohamed Noor, 37, dari Cyberjaya berkata, dia bersama keluarganya bertolak pada pukul 6 pagi dan sampai di Hentian Gua Musang pukul 11 pagi.
“Saya bersyukur perjalanan kami lancar dan selamat tiba di Gua Musang selepas lima jam menempuh perjalanan walaupun kenderaan bergerak perlahan di sesetengah tempat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Lee Hui Yee, 40, dari Kuala Lumpur pula memberitahu, walaupun tidak bercuti panjang, dia tetap akan pulang ke kampungnya di Kuala Krai untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama ibu dan rakan-rakannya.
“Pada malam ini, saya akan menikmati ‘makan besar’ bersama keluarga sebelum meraikan Tahun Baru Cina,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan di Perlis pula mendapati sebanyak 11,553 tiket feri dari terminal Kuala Perlis di sini ke Pulau Langkawi bermula semalam sehingga Selasa depan habis terjual bersempena cuti persekolahan dan sambutan perayaan itu.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Venture Sdn. Bhd, Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, berikutan itu, pihaknya juga membuat tambahan empat trip lagi perjalanan selain berpoerasi pada waktu malam sekiranya terdapat permintaan.
“Jabatan Laut Malaysia memberi kebenaran buat operator untuk menggerakkan feri tambahan pada sebelah malam tanpa had waktu bagi memudahkan orang ramai menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Bagaimanapun, pihak operator perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan antaranya dengan mempunyai jaket keselamatan berlampu,” katanya. – UTUSAN










