LIVERPOOL: Syarikat penerbangan Jet2 melancarkan pesawat VIP pertama dalam sejarah perkhidmatannya yang dilengkapi 76 kerusi kelas perniagaan, ruang kaki tambahan dan pengalaman penerbangan serba mewah.
Pesawat yang menggunakan model Boeing 737-800NG itu telah menyempurnakan penerbangan sulungnya bersama kumpulan pelanggan pertama dan kini dibuka untuk tempahan sewaan khas sepanjang musim sejuk ini.
Ubah suai khas berkenaan menyaksikan kapasiti asal pesawat yang biasanya memuatkan 189 kerusi dikurangkan secara drastik bagi menawarkan ruang kaki minimum selebar 35.56 sentimeter untuk keseluruhan kabin.
Syarikat penerbangan itu menjelaskan bahawa susunan ruang dalaman baharu ini direka khas bagi memberikan tahap keselesaan optimum, ruang peribadi lebih luas dan suasana penerbangan yang lebih eksklusif.
Perkembangan ini sekali gus mencatatkan sejarah baharu buat Jet2 yang buat julung kalinya mengkonfigurasi spesifikasi pesawat mengikut piawaian kelas perniagaan sepenuhnya.
Pesawat VIP yang berpangkalan di Lapangan Terbang John Lennon Liverpool itu diperkenalkan bagi memenuhi peningkatan permintaan daripada pasukan sukan, kumpulan muzik dan penggiat industri hiburan.
Golongan pelanggan sewaan khas ini dilaporkan mengutamakan tahap privasi yang tinggi, keselesaan maksima dan keanjalan jadual penerbangan mengikut keperluan peribadi mereka.
Kelas perniagaan itu pada kelazimannya dikaitkan dengan golongan kaya.
Meskipun Jet2 tidak mendedahkan kos rasmi tempahan sewaan pesawat berkenaan, laporan industri menganggarkan kadar sewaan pesawat VIP seumpama itu boleh mencecah sekitar £10,300 (RM55,826) sejam.
Anggaran berkenaan menyamai sekitar £135.50 (RM734) hingga £248 (RM1,344) bagi setiap kerusi untuk tempoh satu jam penerbangan sekiranya muatan penuh.
Selain ruang kabin yang mewah, para penumpang turut disajikan dengan perkhidmatan sajian makanan yang disesuaikan secara khusus mengikut permintaan pelanggan.
Pihak Jet2 mengesahkan bahawa maklum balas yang diterima daripada pelanggan terawal setakat ini adalah sangat memberangsangkan terutamanya dari segi suasana eksklusif dan keselesaan luar biasa sepanjang penerbangan. -AGENSI











