KUALA TERENGGANU: Sejumlah 781 buah kenderaan yang dipandu dan ditunggang warga asing disita sepanjang Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di seluruh negara sejak 1 Februari lalu.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesalahan itu dianggap serius dan dibimbangi boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Menurut beliau, warga asing tiada latihan dan pendedahan membawa kenderaan bermotor di atas jalan raya di negara ini sekaligus meningkatkan risiko berlaku kemalangan.
Justeru itu, Lokman mengingatkan pemilik kenderaan agar tidak menjual dan memberi sewa kenderaan kepada warga asing atau berdepan tindakan undang-undang serta disenarai hitam.
“Selain pemandu atau penunggang (warga asing), pihak berkuasa juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan warga tempatan kerana warga asing tidak ada dokumen sah seperti lesen.
“Setakat 20 hari operasi khas ini, hampir 2,500 kenderaan diperiksa dengan 781 daripadanya dipandu atau ditunggang oleh warga asing telah disita di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Jambatan Sultan Mahmud, di sini, hari ini.
Lokman menjelaskan, di Terengganu sahaja sebanyak 923 saman dikeluarkan manakala 281 buah kenderaan juga disita membabitkan pemandu atau penunggang warga asing.
Ujarnya, kesalahan tersebut membabitkan 287 warga asing yang turut dikenakan tindakan iaitu 213 warga Myanmar, 63 warga Bangladesh, enam warga Pakistan dan lima rakyat Indonesia.
“Isu kebanjiran warga asing semakin menjadi-jadi dan JPJ bersama agensi penguatkuasaan lain akan terus menggandakan operasi bagi memelihara undang-undang di negara ini.
“Ini termasuk menyiasat kegiatan memberi sewa kenderaan kepada warga asing yang didalangi warga tempatan dan telah dikesan di seluruh negara sejak kebelakangan ini,” tambahnya. – UTUSAN










