PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengumpul semua maklumat risikan bagi mendapatkan petunjuk baharu kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, bulan lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, walaupun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini, pihaknya tidak pernah menghentikan pencarian bukti-bukti yang dapat membantu siasatan.
“Pelbagai usaha dilakukan dalam siasatan kes ini. Malah, kita turut memperluaskan radius di kawasan-kawasan berdekatan, bukan sahaja hanya di Apartment Idaman tersebut bagi mencari petunjuk baharu.
“Bagaimanapun, kita masih dalam tindakan mengesan suspek, doakan ada perkembangan positif,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Razarudin sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu sudah melebihi 90 peratus dari segi konvensional, saintifik dan forensik.
Pada 5 Disember lalu, kanak-kanak itu dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman selepas 30 jam dilaporkan hilang pada keesokannya.
Hasil proses bedah siasat menemukan terdapat kecederaan di leher serta badan akibat mempertahankan diri dan polis mengklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu Razarudin berkata, polis akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi menentukan tindakan ke atas penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin berhubung dakwaan terdapat gerakan menggulingkan kerajaan yang dikenali sebagai Langkah di Dubai.
“Raja Petra bukan sahaja diperlukan untuk siasatan kes ini, sebaliknya ada beberapa kertas siasatan yang dibuka terhadapnya sebelum ini.
“Selain Raja Petra, beberapa individu lain juga akan dipanggil berhubung dakwaan Langkah Dubai,” katanya.
Dalam pada itu, polis juga sedang mengesan penulis sebenar artikel yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) cuba memberi rasuah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggulingkan kerajaan.
“Kita akan memanggil sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan, Buat masa ini, siasatan PDRM untuk mengenal pasti penulis artikel dalam kes ini.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – UTUSAN










