Palsukan maklumat taktik seludup ikan asing

Palsukan maklumat taktik seludup ikan asing, 170 tan tangkapan direkodkan

ADNAN HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan memalsukan maklumat dalam sistem e-permit dikesan sebagai taktik terbaharu segelintir pihak bagi membawa masuk spesies ikan asing (invasif) yang dilarang ke negara ini.

Malah, sindiket berkenaan dipercayai memanipulasi pengisytiharan semasa permohonan permit import dengan menyenaraikan spesies ikan yang dibenarkan pihak berkuasa dengan tujuan mengaburi pemeriksaan dan melindungi kemasukan spesies sebenar yang tidak mendapat kelulusan.

Lebih mendukacitakan, tiada sebarang kes rampasan direkodkan terhadap barangan import ikan asing di pintu masuk utama negara termasuk lapangan terbang antarabangsa mahupun pelabuhan dalam tempoh tiga sehingga lima tahun sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, tindakan tersebut yang jelas melanggar undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan Akta MAQIS (Akta 728), menyebabkan berlaku lambakan ikan asing di pasaran tempatan tanpa kawalan.

“Ikan-ikan ini bukan sahaja dijual secara terbuka, malah telah mula dibiak secara meluas di negara ini sehinggakan tangkapan ikan asing tahun lepas mencecah sehingga 170 tan.

“Setakat ini, Pahang merupakan penyumbang terbesar bagi pengeluaran ini dengan jumlah sebanyak 123.138 tan dengan merangkumi 72.4 peratus daripada keseluruhan nilai. Manakala Perak pula menyumbangkan sebanyak 34.634 tan atau bersamaan dengan 20.4 peratus,” katanya baru-baru ini

Dalam pada itu Adnan berkata, Perlis mencatatkan tangkapan ikan asing atau invasif sebanyak 6.641 tan, manakala Selangor pula menyumbang sebanyak 4.973 tan.

Katanya, beberapa negeri lain dikategorikan sebagai penyumbang rendah dengan jumlah pengeluaran kurang daripada satu tan antaranya Johor, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Ketika ditanya tentang jumlah sitaan ikan asing hasil daripada operasi di premis serta ladang ikan hiasan sebelum ini, Adnan berkata, sebanyak 20 kes dicatatkan tahun lalu.

“Hasil siasatan dan pemantauan penguatkuasaan perikanan di lapangan mendapati bahawa majoriti spesies ikan asing yang disita adalah untuk tujuan pasaran ikan hiasan, bagi memenuhi permintaan dalam kalangan penggemar ikan eksotik yang menginginkan kelainan serta keunikan dalam koleksi peribadi mereka.
“Antara spesies yang dikenal pasti termasuk Peacock Bass, Piranha, Flowerhorn, ikan buaya, Alligator Gar, Arapaima, Paddlefish serta lain-lain spesies seperti yang dinyatakan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import dan sebagainya bagi Ikan) 1990 [Pindaan 2011] dan [Pindaan 2024],” jelasnya.
Sementara itu, Adnan dalam masa yang sama berkata, ikan baung ekor merah ( Hemibagrus Wyckioides) merupakan spesies yang paling dominan dengan keberadaannya hanya tertumpu di kawasan negeri Pahang dan Perak sahaja.

Bagi spesies Peacock Bass, walaupun mencatatkan jumlah pengeluaran yang lebih rendah, ia mempunyai corak taburan yang dilihat lebih meluas di pelbagai lokasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN