Malaysia-Thailand sepakat selesai isu akses pasaran perikanan

Malaysia-Thailand sepakat selesai isu akses pasaran perikanan

ANWAR Ibrahim dan Anutin Charnvirakul ketika sidang akhbar bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand ke Malaysia di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. - UTUSAN/MAISARAH SHEIKH RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand sepakat menyelesaikan isu tertunggak dalam sektor perikanan terutama membabitkan akses pasaran dengan mempercepatkan pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) berkaitan dalam tempoh seminggu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai hasil komitmen kedua-dua menteri bertanggungjawab dalam sektor berkenaan bagi memastikan penyelesaian isu terbabit dapat dilaksanakan tanpa berlengah.

“Kami sudah menyelesaikan isu tertunggak berkaitan perikanan. Kedua-dua menteri (sektor berkaitan) memberi komitmen dan pada asalnya mahu memorandum (persefahaman) itu berkuat kuasa dalam tempoh satu bulan setengah.

“Tetapi kami (Perdana Menteri Malaysia dan Thailand) bersetuju supaya ia dilaksanakan dalam tempoh seminggu,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Malaysia memperketat kawalan import produk perikanan dari Thailand apabila Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menguatkuasakan keperluan Sijil Analisis atau Certificate of Analysis (CoA) bagi import ikan siakap, selain mengenakan sekatan sementara terhadap lima spesies udang dari negara jiran itu bermula 1 Jun lalu.

Langkah itu dilaksana bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara, khususnya memastikan ikan siakap dan udang yang memasuki pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan serta kualiti ditetapkan.

Sementara itu, Anutin berkata, Thailand menyokong penuh usaha memperkukuh rantaian nilai dan rantaian bekalan serantau dengan memanfaatkan kekuatan yang saling melengkapi antara ekonomi kedua-dua negara.

Katanya, Malaysia dan Thailand akan memberi tumpuan kepada kerjasama dalam aspek keselamatan makanan, keselamatan tenaga serta ekonomi digital, termasuk pembangunan industri berteknologi tinggi.

“Dalam aspek keselamatan makanan, kami mengalu-alukan pertemuan antara Menteri-Menteri Pertanian kedua-dua negara bagi mencari penyelesaian secara muafakat.

“Malah, sebentar tadi kami berjaya memuktamadkan penyelesaian terhadap isu-isu tertunggak berkaitan akses pasaran bagi produk perikanan dan pertanian,” katanya.

Beliau berkata, penyelesaian itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi serta memastikan kelancaran perdagangan produk pertanian dan perikanan demi manfaat bersama.

Terdahulu, kedua-dua Perdana Menteri menyaksikan pertukaran MoU antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Suriya Jungrungreangkit.

MoU terbabit menyediakan kerangka kerjasama menyeluruh dalam pelbagai bidang strategik antaranya sektor tanaman, ternakan, perikanan, fasiliti perdagangan dan pemasaran produk pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan kapasiti dan biosekuriti.

Melalui kerangka kerjasama itu, kedua-dua negara dijangka dapat memperkukuh mekanisme komunikasidan penyelerasan antara pihak berkuasa secara lebih tersusun, terbuka dan berterusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN