SHAH ALAM: Seramai 7,387 pesawah di negeri ini akan menerima bantuan tunai sebanyak RM500 bagi setiap hektar tanah sawah menerusi Pakej Daya Tahan Selangor 2026 yang akan dibuat dalam masa terdekat.
Exco Pertanian dan Infrastruktur, Datuk Izham Hashim berkata, bantuan tersebut akan diberikan secara terus ke dalam akaun bank Agrobank seperti mana pernah dibuat sebelum ini.
Menurutnya, agihan tersebut dibuat berdasarkan tapisan dibuat oleh pejabat daerah dan tanah (PDT), Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).
“Dua tahun lepas pun kita sudah buat, RM500 kita beri tunai RM300 terus masuk ke dalam akaun mereka dan RM200 kita beri dalam bentuk benih padi. Kali ini, kita beri RM500 tunai (secara terus).
“Jadi kita buat, kita tak kira, selagi mereka memiliki tanah sawah, bagi sehektar mereka akan mendapat RM500, kalau 10 hektar mereka akan dapat RM5,000 kita akan salurkan,” katanya pada penggulungan pembentangan Pakej Daya Tahan Selangor 2026 pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM33.03 juta bagi sektor pertanian, penternakan dan perikanan melibatkan tambahan sebanyak RM6 juta berbanding lebih RM25 juta sebelum ini.
Jumaat lalu Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan pakej tersebut yang menelan belanja keseluruhan RM355.06 juta melibatkan Fasa 1 sebanyak RM145.8 juta dan Fasa 2 berjumlah RM209.26 juta.
Izham berkata, kerajaan negeri juga menambah peruntukan sebanyak RM6 juta selepas menyenaraikan 742 nelayan kelas C1, 1,150 petani dan pengusaha dalam industri asas tani seramai 577 orang.
“Tambah, 1,150 orang menjadikan 3,346 petani yang akan layak menerima bantuan baja bernilai RM450 setiap bulan (setiap orang menerima RM2,700 secara keseluruhan).
“Nelayan, kita tambah 742 orang, menjadikan jumlah keseluruhan nelayan 2,920 yang menerima RM300 sebulan selama enam bulan. Jadi maknanya, setiap orang akan menerima RM1,800 subsidi petrol atau diesel,” ujarnya.
Jelasnya, bagi 577 pengusaha industri asas tani, mereka akan menerima bantuan bekalan seperti tepung, beras, gula, ubi dan sebagainya juga bernilai RM450 sebulan selama enam bulan. – UTUSAN










