WASHINGTON: Israel berkongsi maklumat risikan dengan Amerika Syarikat (AS) minggu ini mengenai satu rancangan baharu dan khusus oleh Iran untuk membunuh Presiden Donald Trump, menurut laporan media AS pada Khamis.
Laporan itu muncul ketika serangan baharu antara AS dan Iran mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan perang berskala penuh kembali tercetus.
Sebelum ini, tindakan Trump menimbulkan persoalan apabila menggunakan pesawat rasminya, Air Force One lamanya untuk meninggalkan Turkiye selepas sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Washington telah memantau aliran berterusan maklumat risikan mengenai kemungkinan rancangan untuk membunuh Trump.
Namun, amaran daripada Israel adalah sesuatu yang baharu dan membabitkan satu komplot yang khusus, lapor CNN, memetik sumber yang mengetahui perkara itu tetapi enggan identitinya didedahkan.
Akhbar The Wall Street Journal yang turut memetik sumber tanpa nama, melaporkan maklumat risikan tersebut menggambarkan satu komplot baharu.
Teheran sejak sekian lama berikrar akan membalas dendam terhadap Trump kerana mengarahkan pembunuhan Jeneral Iran, Qassem Soleimani pada Januari 2020 ketika penggal pertama beliau sebagai presiden.
Apabila AFP menghubungi Rumah Putih berhubung laporan itu, seorang pegawai yang enggan dikenali meminta kenyataan Trump pada Rabu dirujuk olehnya.
“Mereka mahu membunuh pemimpin AS (iaitu) saya. Nama saya ada dalam apa sahaja senarai. Saya lihat pagi ini, saya berada dalam setiap senarai mereka,” kata Trump kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One ketika dalam penerbangan pulang dari sidang kemuncak NATO.
Trump menggunakan pesawat Air Force One lamanya untuk berlepas dari Turkiye, lokasi sidang kemuncak itu berlangsung.
Pesawat baharu yang dihadiahkan oleh Qatar dihantar terlebih dahulu ke Britain sebelum beliau bertukar pesawat untuk meneruskan perjalanan ke Washington.
Pertukaran daripada pesawat baharu itu pada lawatan luar negara sulungnya mencetuskan spekulasi bahawa ciri-ciri keselamatannya masih belum mencukupi, terutama ketika AS melancarkan serangan baharu terhadap Iran yang berjiran dengan Turkiye.
Akhbar The New York Times melaporkan lewat Rabu bahawa pertukaran pesawat itu dibuat atas permintaan Perkhidmatan Rahsia AS sebagai langkah berjaga-jaga dari segi keselamatan. – AFP










