TEMERLOH: Wujud kekeliruan selama ini berhubung penggunaan gambar Sultan Pahang 1, Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah dan kekanda Almarhum baginda, Tun Mutahir oleh pihak media massa, syarikat percetakan dan penerbitan buku.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Datuk Dr. Aripin Said berkata, gambar Sultan Ahmad 1 yang sering digunakan bukan Almarhum baginda tetapi Tun Mutahir.
Beliau berkata, kedua-duanya adalah anak Bendahara Sri Maharaja Pahang, Almarhum Tun Ali Tun Koris tetapi berlainan ibu.
“Saya menyimpan gambar Sultan Ahmad 1 secara eksklusif dan mendapati wujud kekeliruan gambar baginda dalam beberapa medium yang tidak tepat apabila gambar Tun Mutahir sebagai gambar baginda.
“Gambar bersejarah Sultan Ahmad 1 saya temukan ketika penyelidikan di Muzium British di London. Saya juga sudah mendapatkan pengesahan pihak muzium dan keluarga Tun Mutahir serta keluarga waris Tok Jebek di Bohor, Bera.
“Sehubungan itu, saya menyarankan pihak media massa, penerbitan dan pemetaan menggunakan gambar sebenar Sultan Ahmad 1. Ini kerana fakta Sejarah Pahang perlu diperbetulkan sementara masih ada ruang rujukan sebagai mana titah Sultan Pahang keenam, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah,” katanya di sini semalam.

Aripin yang juga Ahli Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Pahang berkata, dalam penyelidikannya di Muzium British, London pada 1978 dan 1994, beliau menemukan gambar Sultan Ahmad 1 yang segak berpakaian kebesaran Diraja Pahang.
Katanya, gambar Almarhum berpakaian Diraja Pahang lengkap berkeris yang kini dibaik pulih dan diwarnakan menjadi pakaian tradisi Sultan Pahang selepas baginda.
“Saya sebagai anak jati Pahang teruja apabila menemukan wajah sebenar Sultan Ahmad 1. Baginda akrab dengan Tok Jebek Pahlawan Gajah Tunggal panglima perang baginda.
“Gambar Almarhum baginda diambil di Pekan atas arahan Residen-Jeneral pertama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham sekitar 1900 sebagai penghargaan penerima Bintang Empayar British (MBE) daripada Ratu Victoria.
“Baginda yang beraksi segak dan berwibawa dianggarkan berusia kira-kira 64 tahun ketika itu,” kata Aripin anak jati Chenor dan pewaris Tok Jebek.
Berdasarkan portal Diraja Pahang, Sultan Ahmad 1 diputerakan pada 23 Mei 1836 di istana ayahanda baginda di Pulau Maulana, Pekan, Pahang.
Almarhum Sultan Ahmad 1 adalah putera kelima dari 11 adik beradik dan diisytiharkan menjadi Sultan pada 16 Ogos 1882.
Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah mangkat pada 9 Mei 1914, setelah memerintah selama lebih kurang 50 tahun di atas takhta singgah sana kerajaan negeri Pahang. – UTUSAN










