PBSNT kesal pergaduhan pegawai, pemain dua pasukan dalam aksi TFL - Utusan Malaysia

PBSNT kesal pergaduhan pegawai, pemain dua pasukan dalam aksi TFL

TANGKAP layar daripada video menunjukkan pergaduhan melibatkan pemain dua pasukan dalam perlawanan bola sepak di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, petang semalam. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kesal dengan pergaduhan pemain dan pegawai dua buah pasukan ketika aksi Liga Bola Sepak Terengganu (TFL) yang tular sejak semalam.

Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim, berkata, insiden berkenaan tidak seharusnya berlaku dan boleh dielakkan terutama pada kejohanan yang bertujuan mencungkil bakat baharu di negeri itu.

Beliau berkata, Jawatankuasa Tatatertib TFL sudah diminta meneliti laporan berhubung kekecohan tersebut sebelum badan induk bola sepak Terengganu itu membuat sebarang keputusan atau hukuman.

“Anasir tidak sihat ini amat mendukacitakan dan PBSNT menganggap ianya sebagai satu kes yang serius dan akan berusaha menanganinya dengan cermat serta tidak akan berkompromi.

“Walhal sukan melibatkan elemen tempur seperti muaythai, silat dan taekwondo sendiri ada disiplin-disiplin tersendiri yang harus dipatuhi atlet atau pemain, apatah lagi bola sepak.

“Jawatankuasa Tatatertib TFL akan menyiasat serta meneliti semua laporan sebelum diputuskan secara muktamad di bawah bidang kuasa PBSNT,” tulisnya menerusi media sosial Facebook, hari ini.

Sementara itu penganjur liga berkenaan menerusi muat naik di platform sama memaklumkan, insiden pergaduhan itu melibatkan pasukan NAG FC dan KESA FC di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

Kenyataan itu menyebut, kekecohan itu telah menyebabkan seorang mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian muka dan kepala dipercayai dipukul serta disepak.

“Pihak TFL sedang menyiasat melalui laporan daripada pengadil selain pasukan keselamatan, selaku penganjur kami memandang serius kes ini dan akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Terdahulu, tular di Facebook dan X dua klip video berdurasi 43 dan 22 saat memaparkan insiden tumbuk-menumbuk antara pemain dan pegawai selain menunjukkan seorang lelaki disyaki dipukul serta ditendang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supritenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail, mengesahkan satu laporan telah diterima dengan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya