BENTONG: Empat orang ditahan terlibat dalam kejadian merusuh dalam kasino Genting Club di Genting Highlands di sini.
Ketua Polis Bentong, Superitenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis menerima maklumat berlaku pergaduhan di situ pada pukul 4 pagi semalam melibatkan dua kumpulan seramai kira-kira 10 orang lelaki warganegara tempatan.
“Polis Bentong sudah menahan empat lelaki warganegara tempatan berusia 23 hingga 50 tahun yang terlibat dalam pergaduhan itu bagi membantu siasatan.
“Semua empat suspek direman selama dua hari bermula hari ini,” katanya di Ibu Pejabat Polis di sini hari ini.
Menurut Zaiham, kesemua yang ditahan sudah dihantar ke Hospital Bentong bagi mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan berpunca dari pergaduhan.
“Pihak polis sedang mengesan beberapa lelaki lain yang terlibat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di tempat kejadian,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, beberapa klip rakaman pergaduhan tersebut itu juga sudah tersebar dan tular di media sosial. – UTUSAN










