BENTONG: Enam penumpang warga Nepal cedera selepas sebuah bas persiaran terbalik dalam kemalangan melibatkan dua buah bas persiaran dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz di Kilometer 15 Jalan Turun Genting Highlands-Genting Sempah di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.29 petang hari ini itu, sebuah bas persiaran yang membawa 37 penumpang dipercayai terbalik selepas terlibat dalam kemalangan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.29 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan benar berlaku kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan iaitu dua buah bas persiaran dan sebuah Perodua Aruz.
“Salah sebuah bas persiaran yang membawa 37 penumpang telah terbalik menyebabkan enam penumpang warga Nepal mengalami kecederaan, manakala 29 lagi penumpang serta pemandu selamat,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Salahuddin, sebuah lagi bas persiaran dipandu seorang lelaki warga tempatan membawa 33 penumpang warga asing terdiri daripada 24 warga Bangladesh dan sembilan warga Nepal, namun kesemua mereka dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Katanya, kemalangan itu turut melibatkan sebuah Perodua Aruz dinaiki tiga warga tempatan.
“Seorang mangsa mengalami kecederaan manakala dua lagi selamat. Kesemua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan masing-masing sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya.
Tambah beliau, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
“Pihak bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi bagi memastikan keadaan selamat,” katanya. – UTUSAN










