BRUSSELS: Dua penumpang yang mencetuskan kekecohan dalam sebuah penerbangan Jet2 ke Manchester telah diusir keluar oleh pihak berkuasa Belgium selepas terlibat dalam pergaduhan besar di udara.
Susulan insiden tersebut, syarikat penerbangan itu telah mengharamkan dua penumpang berkenaan daripada menaiki pesawat Jet2 seumur hidup.
Rakaman video kejadian yang tular di media sosial memaparkan suasana huru-hara dalam penerbangan LS896 dari Antalya, Turkiye, pada malam Khamis lalu.
Pesawat itu terpaksa melakukan pendaratan cemas di Belgium bagi membolehkan pihak berkuasa menguruskan penumpang bermasalah tersebut sebelum ia meneruskan perjalanan ke Manchester.
Laporan daripada Manchester Evening News menyatakan beberapa penumpang lain turut terseret dalam pergelutan itu, termasuk seorang wanita yang bangun dari tempat duduknya untuk melihat apa yang berlaku.
Jurucakap Jet2 berkata: “Penerbangan LS896 dari Antalya ke Manchester dilencongkan ke Brussels semalam (kelmarin) susulan tingkah laku amat buruk dua penumpang yang mengganggu.
“Kedua-duanya diturunkan oleh polis di Brussels dan penerbangan itu kemudian meneruskan perjalanan ke Manchester.
“Kami mengesahkan bahawa dua penumpang yang mengganggu itu akan dilarang daripada terbang bersama kami seumur hidup.
“Kami juga akan mengambil tindakan tegas untuk menuntut semula kos yang kami tanggung akibat lencongan ini.
“Sebagai sebuah syarikat penerbangan mesra keluarga, kami mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap tingkah laku penumpang yang mengganggu.
“Kami amat kesal (kerana) pelanggan lain dan rakan sekerja kami di dalam pesawat turut terpaksa melalui pengalaman ini.” – AGENSI










