PETALING JAYA: Kehadiran ahli perniagaan, Tan Sri Mokhzani Mahathir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Mokhzani diberikan satu perintah notis kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara.
“Pengisytiharan itu perlu dilakukan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut diserahkan sama seperti abang beliau Mirzan,” kata sumber itu.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan kepada Utusan Malaysia Mokhzani hadir di Putrajaya kira-kira pukul 11 pagi.
“Ya, saya sahkan. Beliau hadir pagi tadi,” kata beliau ringkas.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, ahli perniagaan yang juga anak ketiga kepada seorang bekas Perdana Menteri dipercayai akan hadir di SPRM.
Siasatan yang dilakukan oleh SPRM di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Utusan Malaysia difahamkan, keterangan ahli perniagaan ini diambil selepas abangnya juga hadir di SPRM pada 17 Januari lalu.
Siasatan dilakukan SPRM terhadap ahli perniagaan ini dipercayai mempunyai kaitan pegangan saham beliau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendapatkan projek kerajaan.
Syarikat GLC itu dikatakan turut memenangi lesen fabrikasi struktur cari gali sebuah syarikat gergasi petroleum negara yang ketika itu bapanya merupakan Perdana Menteri.
Pada 17 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan anak kedua kepada seorang Perdana Menteri dipanggil SPRM berhubung aset bernilai tinggi dimilikinya di luar pesisir.
SPRM dalam kenyataan pada 18 Januari lalu mengesahkan telah memanggil Mirzan Mahathir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pukul 9.39 pagi.
Satu perintah notis telah disampaikan SPRM kepada beliau untuk melakukan pengisytiharan aset miliknya dalam tempoh 30 hari.
Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – UTUSAN










