72 rakyat Malaysia ditahan jadi keldai dadah - Utusan Malaysia

72 rakyat Malaysia ditahan jadi keldai dadah

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 72 rakyat Malaysia ditahan dalam tempoh 10 bulan tahun ini di luar negara kerana menjadi keldai dadah.

Penahanan itu membawa kepada rampasan sebanyak 1,704 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM81.76 juta.
Thailand dan Indonesia mencatatkan angka tertinggi iaitu masing-masing dengan 19 dan 16 tangkapan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Hussein Omar Khan berkata, kesemua rampasan dan tangkapan itu dilaksanakan menerusi 48 kes berasingan hasil kerjasama perisikan antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, dadah jenis syabu atau methamphetamine mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,445.16 kilogram (kg) bersamaan 84.8 peratus daripada keseluruhan rampasan.

“Ini diikuti rampasan ganja sebanyak 176kg, heroin (48.19kg), MDMA (23.35kg), cecair etomidate (5kg) serta kokain (5kg). Rampasan lain turut melibatkan pil Erimin 5 dan ekstasi,” katanya ketika dihubungi.

Hussein berkata, selain Thailand dan Indonesia, lapan suspek masing-masing ditahan di Taiwan dan Singapura diikuti Jepun (5), Filipina (4), India (3), Hong Kong (3) dan Macau (2).

Katanya, Korea Selatan, Nigeria, Maldives serta Sri Lanka masing-masing mencatatkan satu tangkapan.

Ujarnya, golongan muda berumur 18 hingga 30 tahun paling ramai ditahan iaitu 36 orang atau 50 peratus.

“Ia diikuti suspek berusia 31 hingga 40 tahun seramai 21 orang manakala kategori umur 41 hingga 50 tahun dan 51 hingga 60 tahun masing-masing enam orang.

“Selain tiga warga emas berusia 61 hingga 70 tahun,” jelasnya.

Tambahnya, tangkapan mengikut jantina pula terdiri daripada 57 lelaki iaitu bersamaan 79.2 peratus dan 15 perempuan.

“Bangsa Melayu mencatatkan angka tertinggi iaitu 35 orang atau 48.6 peratus diikuti Cina seramai 19 orang (26.4 peratus), India 11 orang (15.3 peratus) dan Iban tujuh orang (9.7 peratus),” ujarnya.

Hussein berkata, polis akan terus memperketat kawalan sempadan dan memperkemas pertukaran maklumat perisikan bagi memburu rangkaian sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan rakyat tempatan sebagai keldai dadah.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran lumayan atau pakej percutian percuma yang akhirnya memerangkap mereka ke kancah jenayah antarabangsa.

“Jangan jadi keldai dadah. Polis tidak akan kompromi dan akan terus memperketat kawalan sempadan serta kerjasama perisikan antarabangsa bagi memburu rangkaian sindiket ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini